Warga Myanmar antara 29 ditahan cuba rentas negeri
BUTTERWORTH- Polis menahan 29 individu termasuk dua warga Myanmar selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan cuba merentas negeri, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka yang ditahan adalah 21 lelaki, enam wanita dan dua lelaki warga Myanmar.
Menurutnya, mereka dikompaun RM1,000 kerana gagal memberi alasan munasabah ketika ditahan dalam Ops Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah SPU.
"Kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi berbeza antaranya Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Butterworth dan di beberapa sekatan jalan raya sekitar SPU. Ada antara mereka cuba untuk melakukan pergerakan rentas negeri.
"Pemeriksaan mendapati, mereka tidak mempunyai surat kebenaran daripada polis selain gagal memberikan alasan munasabah untuk melakukan pergerakan tersebut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, lima daripada mereka ditahan dan didenda kerana menaiki kenderaan lebih daripada empat orang.
"Pemeriksaan mendapati, kesemua mereka bukan dalam kalangan ahli keluarga yang sama. Oleh itu, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.
"Sementara itu, dua lelaki Myanmar tersebut ditahan dalam sekatan jalan raya di dua lokasi berbeza. Mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah. Selain ingkar PKPB tertakluk pada Peraturan 15(1) PPPPB 2020, mereka juga ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!