'Selamat Hari Raya, doakan saya dapat zuriat'
KLANG - Selamat Hari Raya 2020, doakan saya untuk cepat dapat zuriat, 3 tahun menunggu, demikian nota ringkas bersama duit raya dari pelanggan yang diterima seorang penghantar makanan di sini.
Shahrul Nizam Shahnon Hisham,27, tersentuh hati membaca nota berkenaan selepas membuka sampul raya berisi wang RM50.
Kata Shahrul, dia tidak menyangka pelanggan itu akan memberi duit raya selepas menghantar makanan rojak di sebuah taman di Klang Lama.
"Selepas hantar makanan (rojak), dia hulur kertas dan cakap nanti baca tau.
"Masa tu hujan renyai, saya terus cakap baik dan terima kasih. Lepas lengkapkan tempahan dan menunggu tempahan yang lain saya, teringat untuk melihat apa yang disuruh baca.
"Rasa sedih apabila saya juga baca dan buka, ada nota dalam sampul raya dan juga RM50," jelasnya.
Shahrul yang hampir dua bulan bekerja sebagai penghantar makanan juga berkongsi pengalaman kakaknya yang baru menimang cahaya mata setahun lalu selepas dua tahun menunggu.
"Kalau saya tahu nota itu mengenai zuriat, mungkin saya akan minta pendapat dan tip dari kakak saya dan beri kepada pelanggan itu," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, dia mengucapkan terima kasih kepada pelanggan berkenaan kerana menghargai 'rider' di Malaysia.
"Pemberian duit raya ini sebenarnya secara tak langsung membuatkan 'rider' ni semakin rajin untuk bekerja dan rasa dihargai.
"Semoga yang memberikan duit raya atau tip dimurahkan rezeki dan berjaya dunia akhirat. ALLAH saja yang mampu balas. Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Apa saja kerja yang dilakukan, niat kerana ALLAH SWT," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!