Penggali kubur kerja 15 jam sehari sejak wabak Covid-19
JAKARTA - Kisah penggali kubur di Jakarta menarik perhatian media asing kerana selain berdepan risiko, dia perlu bekerja 15 jam sehari ekoran pandemik koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat di negara tersebut.
Menurut Tribun News, AFP (Perancis) dan South China Morning Post (China) telah menemu bual beberapa penggali kubur antaranya, Junaidi Hakim di Tanah Perkuburan Pondok Ranggon, Jakarta Timur.
Junaidi, 42, berkata, dia dan rakan-rakannya perlu melakukan upacara pengebumian kurang dari 10 minit untuk mengelakkan risiko Covid-19.
"Bila ambulans datang, kami keluarkan jenazah, kami bawa ke liang lahad, kemudian cepat-cepat kebumikan.
"(Harus selesai) 10 minit," katanya.
Menurut bapa kepada empat anak itu, kebimbangan paling utama adalah ketika menurunkan keranda dari ambulans.
"Ini kerana keranda harus dipegang dan mahu tidak mahu ada sentuhan antara keranda dengan anggota tubuh.
"Bagaimanapun setelah selesai semuanya tanpa apa-apa berlaku, perasaan bimbang itu sudah tidak ada," katanya.
Berkongsi pengalaman, Naman Suherman pula mengatakan, walaupun terpaksa menahan lapar ketika berpuasa, ia menyifatkan tanggungjawab itu adalah amanah perlu dilakukan.
"Jika kita fikir tugas ini adalah mulia di sisi ALLAH, rasa lapar, dahaga dapat diatasi dengan sebaiknya.
"Kami tak pernah berhenti menggali kubur sejak pandemik ini mula menular di Indonesia," katanya.
Jelasnya, kebiasaan penggali kubur hanya menerima tugas sekali dalam seminggu.
"Namun bila wabak ini melanda negara, setiap masa kami bekerja tanpa henti," katanya.
AFP melaporkan seramai 50 penggali kubur ditugaskan di tanah perkuburan Pondok Ranggon iaitu salah satu lokasi tanah perkuburan khas untuk kematian Covid-19 di Jakarta.
Penggali kubur perlu bekerja 15 jam sehari selama tujuh hari seminggu dengan gaji bulanan Rp 4.2 juta (RM1,242).
Setiap hari, mereka sekurang-kurangnya menggali 20 kubur, kemudian ditanda dengan papan kayu putih tertera nama, tarikh lahir dan tarikh kematian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!