Warga emas maut rempuh kereta terbalik
SUNGAI BULOH - Seorang lelaki warga emas berusia 56 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta dalam kejadian yang berlaku di KM 452.5 Lebuhraya Utara Selantan (Arah Selantan), semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kejadian sekitar jam 8.37 malam itu berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikalnya jenis Yamaha 135 LC untuk ke tempat kerja di KL Sentral.
Bagaimanapun, Shafa'aton berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa tidak sempat mengelak sebuah kereta jenis Volkswagen Vento yang sebelum itu terbabas di bahu kiri jalan berkenaan dan kemudiannya terbalik.
"Kereta dipandu lelaki berusia 33 tahun telah terbabas ke bahu jalan dan terbalik di lorong kiri.
"Mangsa yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak dan merempuh kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Shafa'aton berkata, ekoran kejadian itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Sungai Buloh ekoran kecederaan parah yang dialaminya.
Beliau berkata, pemandu kereta terlibat pula hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan selanjutnya.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBPM) Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.01 malam dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi bagi melakukan tugas-tugas menyelamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!