Bunuh isteri dengan ular tedung
KOCHI - Polis menahan seorang lelaki kerana didakwa membunuh isterinya dengan menggunakan seekor ular tedung di Kerala, India.
Menurut AFP, pegawai polis Ashok Kumar berkata, Sooraj, 27, telah mencampakkan ular beracun ke atas katil semasa isterinya, Uthra sedang tidur di dalam bilik.
"Selepas dipatuk ular itu, Uthra dirawat di hospital sebelum meninggal dunia semalam," katanya.
Ashok berkata, Sooraj membeli ular itu daripada seorang pemikat ular setelah menonton videonya di internet.
"Berdasarkan soal siasat, ini bukan percubaan pertama Sooraj mahu membunuh isterinya.
"Motif pembunuhan dipercayai kerana harta," katanya.
Tambahnya, kes tersebut terungkai setelah ibu bapa Uthra mengesyaki Sooraj hendak membolot harta isterinya.
"Beberapa hari selepas kematian Uthra, Sooraj bertanyakan harta si mati kerana Uthra berasal dari keluarga kaya manakala Sooraj hanya bekerja di sebuah bank swasta.
"Jika Uthra meninggal bermaksud semua mahar diberikan kepada Sooraj," katanya.
Katanya, pemikat ular itu juga ditahan untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, pasangan ini mempunyai seorang anak berusia setahun.
Polis mengatakan perkahwinan mereka melibatkan mas kahwin dalam jumlah yang besar iaitu hampir 100 syiling emas, sebuah kereta baharu dan wang tunai 500,000 rupee (RM28,816).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!