Modal RM10 menang RM300
Zamari (tiga, kiri) bersama barisan tiga pemenang utama Ipoh Mobile Photography.
A
A
A
Program anjuran Kampung Karyawan Amanjaya (Port) yang masuk edisi ketiga, tahun ini mengetengahkan tema kuih tempatan Perak.
Katija Abd Wahid, 37, berkata, gambar kuih sepit gulung diambil suaminya menggunakan telefon pintar model Samsung J3 itu antara empat gambar yang dihantar ke pertandingan itu.
Menurutnya, idea untuk menyertai program terbabit tercetus secara kebetulan ketika membeli tiga bungkus kerepek di sebuah kedai makan di Taman Ipoh.
"Antara kerepek yang dibeli itu termasuklah kuih sepit gulung, jadi bila sampai rumah, suami cuba ambil gambar kuih itu berlatar belakangkan kesan gambar dalam komputer.
"Tak sangka gambar ini terpilih, walaupun menang tempat kedua, kami sangat bersyukur dan berpuas hati," katanya.
Tempat pertama dimenangi Muhammad Syafiq Zainal menerusi gambar kuih bahulu manakala kuih bingka ubi hasil bidikan Norazwani Ibrahim pula dipilih pemenang tempat ketiga.
Mereka menerima wang tunai RM500 dan RM200 berserta sijil, hadiah diwakili ahli keluarga masing-masing.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Port, Zamari Muhyi berkata, sejak pertandingan dibuka 15 Disember lalu, pihaknya menerima penyertaan daripada 55 peserta yang menghantar lebih 200 gambar.
Katanya, pemilihan tema kali ini bukan sahaja untuk memperkenalkan keunikan kuih tradisi, tetapi selaras dengan usaha Port untuk menerbitkan lagu untuk kuih tempatan Perak.
"Dalam rangka kita nak hasilkan lagu ini, kita cuba kumpulkan semula jenama dan nama-nama kuih melalui pertandingan.
"Kita sangat teruja dengan penyertaan menggalakkan ini yang secara tidak langsung dapat menerapkan nilai seni fotografi menerusi telefon mahupun tablet.
"Kesemua gambar ini akan dibukukan bersama hasil-hasil edisi terdahulu," katanya.
Beliau berkata, Port menerima sokongan penuh daripada kerajaan negeri untuk meneruskan program berbentuk santai seumpama itu bagi membolehkan penyertaan dari seluruh rakyat Perak.
"Fokus program kita mahu menggalakkan bakat-bakat seni anak Perak, ini juga kehendak daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!