Anjing setia tunggu 'tuan' di hospital
WUHAN - Seekor anjing setia menunggu selama tiga bulan di hospital tanpa mengetahui bahawa pemiliknya telah meninggal dunia kerana wabak koronavirus (Covid-19) di Wuhan, China.
Lapor Daily Mail, haiwan bernama Xiao Bao itu datang ke Hospital Taikang setelah 'tuannya' iaitu seorang wanita dirawat pada Februari lalu namun telah meninggal dunia lima hari kemudian.
Menurut kakitangan hospital, Zhu Youzhen, 65, berkata, Xiao Bao terus menunggu selama tiga bulan di sini.
"Pada masa itu, anjing berusia tujuh tahun itu diberi makan oleh kakitangan hospital sehingga pada 13 April, Xiao Bao telah dijaga sementara oleh Wu Cuifen, seorang peniaga yang menguruskan pasar raya Hospital Taikang," katanya.
Menurut Wu, dia mengenali anjing itu ketika dia kembali bekerja.
"Saya kemudian memanggilnya Xiao Bao, ternyata haiwan ini tahu namanya.
"Xiao Bao tidak pernah meninggalkan hospital. Kisah ini membuat saya tersentuh kerana dia adalah anjing yang setia," kata Wu.
Setelah memutuskan untuk menjaga sementara haiwan itu, setiap kali Wu membuka kedai, Xiao Bao akan datang menemaninya.
"Xiao Bao enggan pergi dari sini, pernah juga meninggalkan di kawasan lain namun berjaya mencari jalan ke hospital," katanya.
Bagaimanapun kini, Persatuan Perlindungan Haiwan Kecil Wuhan (SAPA) telah membawa Xiao Bao ke tempat perlindungan haiwan sebelum mendapat pemilik baharu.
Sebelum ini, tular kisah seekor anjing terus menunggu tuan di lobi meskipun pemiliknya telah meninggal dunia akibat Covid-19 mendapat perhatian netizen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!