KPISM puas hati kebajikan pegawai Imigresen
KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) yang mewakili 14,000 orang pegawai imigresen di seluruh negara berpuas hati dengan langkah yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam memastikan pegawai yang bertugas di depot diberi perhatian.
Presiden KPISM, Norhisham Murujan berkata, depot terbabit adalah Depot Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana telah disahkan terdapat kluster koronavirus (Covid-19) dalam kalangan tahanan.
"Perhatian utama yang diberikan adalah dari segi penyediaan prosedur operasi standard (SOP), keselamatan dan kebajikan pegawai.
"KPISM sentiasa memandang serius keselamatan dan kesihatan pegawai imigresen yang bertugas di seluruh negara termasuk depot," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KPISM memohon agar pihak yang berwajib dapat mewujudkan satu klinik medan di Depot Imigresen terbabit untuk rujukan dan nasihat keselamatan dan kesihatan oleh pegawai imigresen.
Katanya, selain itu, penyediaan peralatan keselamatan nyah jangkitan dan juga pembekalan pakaian pelindung diri (PPE) perlu dipastikan mencukupi untuk kegunaan pegawai yang bertugas.
"KPISM turut sama menyumbang PPE dan peralatan nyah jangkitan kepada pegawai imigresen yang terlibat sebagai tanda sokongan kepada pegawai," katanya.
Norhisham berkata, pihaknya turut merasakan adalah tidak adil dengan pandangan sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan operasi Imigresen yang menjalankan tugas, tanggungjawab dan amanahnya untuk membanteras pendatang haram di negara ini mengikut lunas undang-undang dan peraturan di beberapa kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Lambakan pendatang haram di kawasan tersebut sudah tentunya memberi pelbagai kesan keselamatan apabila lambakan mereka yang tidak dikawal yang mengakibatkan mereka berada di dalam komuniti tempatan selepas tamat PKPD seterusnya mengancam keselamatan masyarakat dan kestabilan negara ini.
"Tindakan Imigresen adalah demi menjaga kedaulatan dan keselamatan rakyat dan negara ini daripada sebarang ancaman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!