Penginapan sempit, amalan kebersihan punca jangkitan warga asing

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kawasan penginapan yang sempit atau sesak serta tahap amalan kebersihan diri serta persekitaran kurang memuaskan dikenal pasti antara punca penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pekerja bukan warganegara bagi kluster tapak pembinaan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, majikan perlu bertindak proaktif untuk memastikan langkah-langkah pencegahan segera diambil.

"Majikan adalah bertanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada pekerja tentang amalan kebersihan dan langkah pencegahan.

"Majikan juga harus memastikan amalan-amalan ini bukan sahaja diamalkan di tempat kerja, malahan adalah penting langkah-langkah pencegahan turut diamalkan di tempat penginapan pekerja.

"Tindakan ini dapat mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dari tempat penginapan ke tempat kerja dan sebaliknya," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Katanya, penyelesaian masalah penginapan pekerja asing memerlukan pendekatan menyeluruh secara bersepadu daripada semua pihak.

"Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar saringan Covid-19 dijalankan di kalangan warga pekerja asing industri pembinaan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah satu langkah berjaga-jaga yang memberi status kesihatan pekerja pada masa itu sahaja, sebelum mereka dibenar bekerja semula.

"Namun yang lebih utama adalah amalan langkah-langkah pencegahan penularan jangkitan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!