Penjawat awam ubah tarikh surat kebenaran
ALOR SETAR - Seorang penjawat awam di sini didakwa memalsukan maklumat borang permohonan rentas negeri semata-mata ingin tinggal melebihi masa ditetapkan demi meraikan Aidilfitri di kampung.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, penjawat awam berusia lingkungan 40-an itu pulang bersama tiga ahli keluarganya dari Putrajaya ke Pendang.
Menurutnya, penjawat awam dalam bidang pengkeranian terbabit mendapat kebenaran pulang atas sebab memberi alasan ingin menghantar bekalan ubat untuk bapanya.
"Bagaimanapun tindakan lelaki terbabit tinggal lebih masa dan mengubah tarikh pada dokumen terbongkar apabila dia datang ke Balai Polis Pendang untuk mendapatkan kebenaran pulang ke Putrajaya semula semalam.
"Apabila meneliti surat kebenaran pulang diberikan, kita dapati borang berkenaan agak meragukan sebelum membuat semakan lanjut dengan balai polis memberi kebenaran pulang," katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan lokasi tumpuan awam di bandar Alor Setar di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Mohd Rozi Jidin.
Zainuddin berkata, semakan lanjut mendapati surat kebenaran pergerakan berkenaan untuk penjawat awam terbabit sepatutnya telah tamat pada 17 Mei lepas namun dia menukar kepada 25 Mei 2020.
"Jadi dia bukan hanya telah melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh ditetapkan malah juga telah mengubah tarikh sebenar diberikan," katanya.
Menurut beliau, penjawat awam itu dikhuatiri menggunakan kaedah mengubah suai tarikh asal pada surat kebenaran pergerakan berkenaan untuk meloloskan diri.
Sehubungan itu katanya, pihaknya mengarahkan penjawat awam untuk pulang semula ke rumah di Pendang dan tidak dibenarkan kembali ke Putrajaya sehingga siasatan selesai.
Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Komersial untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemalsuan surat kebenaran.
Zainuddin berkata, semua penjawat awam diingatkan bahawa mereka boleh dikenakan tindakan jikalau didapati merentas negeri tanpa kebenaran.
Menurutnya, penjawat awam boleh menerima padah sekiranya didapati melanggar undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, Zainuddin berkata, beliau mendapati beberapa pemilik kediaman diperiksa mematuhi SOP ditetapkan sempena Aidilfitri.
Beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di beberapa kediaman di Kampung Burhan dan Taman Saga di sini yang dilihat memiliki banyak kenderaan dalam satu rumah.
"Berdasarkan pemeriksaan, kita dapati pemilik kediaman terbabit memberi kerjasama baik kepada polis dan mematuhi SOP ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga mendapati sebuah restoran makanan segera di Jalan Alor Mengkudu di sini yang menjadi tumpuan penduduk sejak Ramadan lepas mematuhi SOP ditetapkan.
"Kita lihat restoran berkenaan bukan hanya melakukan penjarakan sosial malah orang awam termasuklah petugas perlu menjalani pemeriksaan suhu dan memberi maklumat terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke dalam premis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!