Saifuddin dukacita pemergian Ahmad Talib
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan rasa dukacitanya atas pemergian tokoh wartawan Datuk Ahmad A Talib hari ini.
“Saya berdukacita mendengar berita pulangnya ke rahmatullah Datuk Ahmad Talib, tokoh wartawan cemerlang dan aktivis sosial yang komited. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat padanya. Al Fatihah!,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter.
Saifuddin dalam ciapan berasingan turut menyatakan antara sumbangan besar Allahyarham dalam aktiviti sosial ialah sebagai Ahli Jawatankuasa Bertindak Bosnia (1995) serta dalam badan sukarelawan Yayasan Salam.
Allahyarham yang berusia 69 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pada jam 5.42 petang akibat kanser hati.
Berita sedih kematian bekas Pengarah Operasi Berita dan Editorial Kumpulan Media Prima Bhd (MPB) itu dikongsikan oleh anak perempuan Allahyarham, Sophia Ahmad menerusi catatan di laman Facebook beliau.
Ahmad memulakan kerjaya sebagai wartawan dengan Bernama pada tahun 1972 sebelum menyandang pelbagai jawatan kanan di syarikat korporat termasuk di New Straits Times Press (NSTP) dan MPB.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Muqarrobin, Bandar Tasik Selatan, untuk urusan pengebumian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!