100 kompaun dikeluarkan ingkar PKPB di Selangor

Fadzil Ahmat
Fadzil Ahmat
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis Selangor mengeluarkan sebanyak 100 kompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 59 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang melakukan aktiviti memancing beramai-ramai di sebuah kolam pancing ikan di Hulu Selangor.

Menurutnya, sebanyak 14 kompaun lagi dikeluarkan kepada pengunjung yang didapati melanggar PKP dengan berkumpul di Pantai Remis, Jeram.

"Bagi kesalahan berkaitan ziarah Aidilfitri pula, sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan terhadap tuan rumah yang membenarkan rumah mereka dijadikan tempat menyambut Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini semalam.

Fadzil berkata, sebanyak 20 kompaun pula dikeluarkan polis semasa menjalankan sekatan jalan raya terhadap individu cuba merentas negeri.

Tegas beliau, pihaknya mempertingkatkan pemantauan Op Covid-19 berikutan masih ramai individu berdegil dan ingkar arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Menurut beliau, pemantauan meliputi 23 senarai aktiviti yang tidak dibenarkan meliputi beberapa aktiviti seperti hiburan dan riadah, perayaan, perarakan dan perhimpunan serta persidangan, pameran dan pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga termasuklah aktiviti perikanan rekreasi melibatkan kolam pancing ikan komersial," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!