Ingkar PKPB: Polis SPU keluarkan 101 kompaun
KEPALA BATAS - Polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) mengeluarkan 101 kompaun kepada mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika musim perayaan seperti yang ditetapkan kerajaan.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua kompaun itu dikeluarkan dalam tempoh tiga hari iaitu bermula 23 Mei sehingga semalam.
Menurutnya, dalam Op Covid-19 yang dijalankan, polis mendapati masih ada masyarakat di daerah tersebut yang tidak mematuhi SOP iaitu membenarkan tetamu hadir ke rumah selain daripada hari raya pertama dan cubaan merentas negeri.
"Dalam operasi pemantauan dari rumah ke rumah bermula jam 1.30 petang tadi, kita membuat rondaan di 10 lokasi berbeza di daerah SPU. Saya mendapati, masih ada masyarakat setempat yang ingkar dengan SOP yang ditetapkan yang mana tiada kunjungan atau lawatan Aidilfitri selepas 1 Syawal.
"Selain itu, masih ada yang cuba untuk merentas negeri namun tidak berjaya. Oleh itu, kita mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang terlibat iaitu sebanyak 101 kompaun sepanjang tiga hari lalu," katanya ketika ditemui di lokasi di sini tadi.
Beliau berkata, pihaknya akan terus membuat rondaan dan pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan.
"Orang ramai seharusnya memahami dan akur akan arahan yang telah dikeluarkan untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan.
"Elakkan mengingkari arahan yang dikeluarkan agar anda tidak dikompaun. Lebih baik anda terus kekal berada di rumah dan keluar rumah jika ada urusan penting sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!