Malaysia masih guna hydroxychloroquine rawat pesakit Covid-19

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 - Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan sentiasa memantau pesakit koronavirus (Covid-19) yang mendapat rawatan menggunakan ubat anti-malaria, hydroxychloroquine bagi mengesan sebarang kemungkinan kesan sampingan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia masih lagi menggunakan ubat tersebut bagi merawat pesakit Covid-19 tetapi secara berhati-hati.

Beliau mengakui ubat yang digunakan untuk merawat penyakit malaria itu mempunyai beberapa kesan sampingan terutamanya pada denyutan jantung dan penglihatan.

“Berdasarkan pengalaman dan pandangan pakar-pakar kesihatan mendapati ubat antiradang ini dapat membantutkan penyakit ini (Covid-19) pada peringkat awal bagi mencegah ia daripada melarat namun ada kesan sampingan dari segi denyutan jantung dan mata.

“Ubat hydroxychloroquine telah digunakan lebih 40 tahun bagi mengubati penyakit malaria tetapi ia digunakan secara off label (luar label) untuk merawat pesakit Covid-19 ketika ini,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebarang penggunaan ubat luar label perlu dipantau bagi menangani kesan sampingan yang berupaya mengundang risiko kesihatan pesakit.

"Contohnya, jika pesakit itu didapati mempunyai denyutan jantung panjang, kami akan menghentikan terus penggunaan ubat itu bagi mengelakkan jantung berhenti dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, pakar-pakar kesihatan sedang mengumpul data bagi cadangan kajian keberkesanan penggunaan ubat hydroxychloroquine dalam rawatan pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Pakar-pakar masih lagi mengkaji bagaimana untuk mengelakkan kesan sampingan sedia ada dan bagaimana elakkan dos tinggi dan tunggu literature review yang akan dikeluarkan oleh WHO pada pertengahan Jun ini,” katanya.

Pada Isnin, Pertubuhan Kesihatan Malaysia (WHO) mengumumkan menggantung buat sementara waktu penggunaan hydroxychloroquine sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian yang dilakukannya di peringkat global. - Bernama