Aidilfitri yang luar biasa

A
A
A

AIDILFITRI muncul lagi, namun kali ini dalam kebiasaan yang penuh dengan keluarbiasaan. Tiada lagi tradisi balik kampung, kesesakan jalan raya, kesibukan membeli-belah baju raya, tiada kunjung mengunjung yang penuh dengan kemeriahan, tiada kemeriahan kampung halaman, riuh rendah saudara mara, kanak-kanak bersama sampul duit raya dan ulangan nostalgia masa lalu seperti tradisi tahunan sebelumnya.

Semua ini ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia dan negara yang belum menemui penghujungnya. Untuk rekod, kali terakhir masyarakat dunia pernah mengalami pandemik kronik adalah ketika wabak selsema Sepanyol melanda pada tahun 1918 hingga 1920 yang menyebabkan jutaan manusia menemui maut.

Pun begitu, pandemik Covid-19 yang dialami masyarakat dunia pada hari ini berlaku dalam keadaan dunia yang telah mengalami proses pemodenan dan kemajuan dalam teknologi komunikasi. Manusia masih boleh berkomunikasi menggunakan gajet dan peranti elektronik untuk berhubung tanpa perlu bersua muka. Paparan wajah di layar telefon bimbit dapat melunaskan kerinduan kepada sanak saudara dan ayah bonda di kampung halaman.

Namun begitu, yang paling utama sebenarnya umat Islam perlu bersyukur kerana masih mampu menyelesaikan ibadat berpuasa Ramadan di kediaman masing-masing, bekalan makanan mencukupi dan kemudahan asas berjalan seperti biasa manakala ibadat sunat di pagi Aidilfitri juga masih mampu dilaksanakan di kediaman masing-masing.

Di sebalik segala kesulitan yang perlu dilalui seperti masalah ekonomi, penjarakkan sosial dan penjagaan kebersihan yang ketat masih terdapat sudut positif yang lahir dari tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ini seperti kualiti udara yang semakin bersih, hilangnya kesesakan jalan raya dan kita dapat meluangkan masa yang lebih berkualiti dengan ahli keluarga.

Bagi kalangan umat Islam yang lebih bernasib baik dan tidak terjejas dari sudut ekonomi, inilah peluang terbaik untuk menginfakkan sedikit daripada rezeki yang ada kepada golongan yang terjejas dan memerlukan. Ini adalah kerana pada musim PKP ini perbelanjaan adalah lebih terkawal dan amatlah baik jika disalurkan kepada aktiviti sedekah kepada yang memerlukan. Hikmah

Terlalu banyak hikmah dan pengajaran yang boleh dikutip sepanjang Ramadan dan Aidilfitri yang luar biasa ini. Hikmah dan pengajaran untuk kita bermuhasabah tentang diri masing-masing, menekuni al-Quran, menginsafi kesusahan golongan terjejas, meningkatkan semangat bantu membantu antara satu sama lain serta menilai erti hidup sebagai orang yang memberi kepada yang memerlukan.

Semua ini menimbulkan keinsafan, meningkatkan ketaqwaan kepada ALLAH SWT dan mengingatkan kita kepada kekuasaan ALLAH yang mampu menarik nikmat berhari raya seperti pernah diberikan kepada kita sebelum ini dan menggantikannya dengan satu normal baharu dan penuh keluarbiasaan.

Artikel Berkaitan:

Marilah sama-sama kita berdoa agar suasana yang luar biasa dan baharu segera pulih serta kembali seperti sedia kala. Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa suasana dan normal baharu ini mencipta satu emosi yang berlainan, lebih lebih lagi kepada mereka yang terkesan dari sudut kewangan dan ekonomi.

Apa pun yang berlaku, Aidilfitri kali ini tidak harus mematahkan iltizam dan niat untuk bermaaf-maafan dengan saudara jauh dekat, jiran tetangga dan rakan taulan. Tradisi bermaaf-maafan seharusnya tidak terhenti bahkan akan terus hidup biarpun segala tradisi yang lain tidak dapat dilakukan pada tahun ini.

Mewakili seluruh keluarga besar Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan juga penulis seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua umat Islam di Malaysia. Moga segala amalan dan ibadat kita pada Ramadan tahun ini diterima oleh ALLAH SWT dan sehingga kita semua dapat bertemu lagi pada Ramadan dan Syawal tahun hadapan.

* Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!