Korea Utara tunjuk degil

A
A
A

WALAUPUN Perang Dingin telah lama berlalu, tetapi tidak di Semananjung Korea yang masih lagi menyaksikan ketegangan hubungan antara Korea Utara-Amerika Syarikat (AS).

Washington yang terjebak dalam Perang Korea akibat perbezaan ideologi antara komunisme dan demokrasi terus dihantui perang tersebut yang secara teknikalnya masih belum tamat. Perang Korea hanya dihentikan pada tahun 1953 akibat gencatan senjata.

Dengan kedudukan AS sebagai kuasa unipolar pada hari ini, maka ia seboleh mungkin dilihat mahu memenangi saki-baki konflik Perang Dingin dengan menundukkan rejim pemerintahan sedia ada Pyongyang.

Walaupun Korea Utara mundur dari sudut ekonomi sehingga memerlukan bantuan makanan antarabangsa antaranya dari China, AS dan Korea Selatan, namun begitu kedudukannya tetap utuh sebagai antara negara kuasa tentera digeruni di Asia Timur.

Apa yang pasti, pemilikan beberapa reaktor nuklear dan rancangan membina senjata pemusnah berkeupayaan besar telah memberikan Pyongyang kelebihan apabila berhadapan dengan AS.

Sebab itu tindakan Pyongyang melancarkan ujian tembakan peluru balistik jarak dekat pada Mac lalu boleh difahami sebagai cubaan halus Presiden Kim Jong-un mempamerkan kemampuan negaranya pada saat dunia berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.

Pyongyang antara empat negara di dunia yang memiliki keanggotaan tentera melebihi satu juta orang iaitu selepas China, AS dan India. Ia juga mampu melancarkan serangan peluru berpandu balistik dari darat atau kapal selam.

Secara teorinya, peluru berpandu antara benua Hwasong-15 milik Korea Utara mampu bergerak sejauh 13,000 kilometer dan boleh membedil AS.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, masalah keselamatan di Semenanjung Korea masih gagal diselesaikan sedangkan ia tercetus akibat dua sebab asas iaitu kehadiran tentera AS di Korea Selatan dan program pemilikan senjata pemusnah Korea Utara.

Dalam konflik di Semenanjung Korea, AS cuba memainkan peranannya sebagai orang tengah.

Sepanjang tempoh tersebut, ia telah berjaya mencorakkan Korea Selatan, Jepun dan Taiwan kepada demokrasi acuan AS sekali gus mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan negara-negara berkenaan.

Ini kerana kesan daripada Perang Korea telah menyuburkan sikap antiimperealis Barat dan sistem kapitalis di Korea Utara.

Sebagai langkah mengekang ancaman AS juga, maka Pyongyang terpaksa memperkukuhkan kuasa tentera serta jati diri rakyatnya.

Tindakan China yang sejak 30 tahun lalu giat membangunkan kuasa tenteranya juga semata-mata tidak mahu dibayangi AS di rantau tersebut.

Sejak tahun 2006, sebanyak tujuh ujian letupan nuklear telah dilaksanakan Pyongyang dengan kali terakhir pada tiga tahun lalu.

Konflik

AS percaya negara itu memiliki sekurang-kurangnya 20 kepala peledak berkuasa nuklear yang boleh dilancar menggunakan peluru berpandu balistik.

Sebab itu konflik senjata nuklear Korea Utara dibimbangi boleh mempengaruhi negara-negara jirannya untuk membangunkan program senjata nuklear masing-masing lantas mewujudkan perlumbaan senjata.

Hanya China yang merupakan negara kuasa nuklear di Asia Timur. Bagaimanapun, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan turut memiliki kepakaran serupa tetapi hanya terhad bagi tujuan membekalkan tenaga.

Jika dibandingkan teknologi nuklear yang dimiliki Jepun adalah jauh lebih maju berbanding Korea Utara. Difahamkan, Tokyo ketika ini mempunyai 54 buah reaktor nuklear bagi kegunaan bekalan tenaga serta penyelidikan dengan kaedah operasi yang ketat.

Korea Selatan yang pernah membangkitkan isu pemilikan senjata nuklear Korea Utara misalnya mempunyai 24 buah reaktor nuklear manakala empat buah dimiliki Taiwan.

Program nuklear bagi bekalan tenaga adalah satu pilihan alternatif, namun ia menjadi berbahaya jika disalah guna. Justeru, tujuan AS mengawal program senjata nuklear Korea Utara adalah satu tindakan positif bagi mengelakkan implikasi buruk.

Sungguhpun begitu, sikap keras kepala Jong-un yang enggan berlembut dengan pentadbiran Presiden Trump serta menolak proses diplomasi menimbulkan pelbagai tanda tanya.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!