Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di MAEPS Serdang dikawal rapi
SERDANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat kawalan dan memasang pagar kawat duri di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bagi mengelakkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditempatkan di situ melarikan diri.
Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, seramai 74 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditugaskan untuk mengawal selia pusat kuarantin berkenaan.
Beliau berkata, kawalan rapi oleh pihak berkuasa disokong dengan pemasangan kawat duri yang dipasang semalam di blok pusat kuarantin terlibat untuk PATI positif Covid-19.
“Ia adalah bagi untuk pastikan mereka (PATI) ini agar tidak melarikan diri daripada saringan Covid-19 dan kawalan berkenaan turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Setakat ini, belum ada cubaan (PATI) untuk meloloskan diri dan mereka ini di dalam pusat kuarantin dijaga jururawat dan anggota Imigresen," katanya kepada Bernama hari ini.
Noor Azam berkata, adalah sukar untuk polis mengesan PATI yang positif Covid-19 ini semula sekiranya mereka berjaya meloloskan diri dari pusat kuarantin.
"Sekiranya ada yang positif Covid-19 susah hendak mengesan jikalau mereka melarikan diri maka lebih baik kita ambil langkah waspada awal-awal," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PATI di pusat tahanan lain yang didapati positif dibawa ke pusat kuarantin di MAEPS untuk tindakan selanjutnya.
"Sebelum ini, pusat kuarantin itu digunakan oleh rakyat tempatan yang positif Covid-19 dan mereka (rakyat tempatan) telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh kerana telah kurang kes,” katanya.
Pada 23 April lepas, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di MAEPS, Serdang mula menerima pesakit kategori tidak bergejala dari sekitar Lembah Klang sebelum digunakan untuk merawat PATI.
Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat kuarantin berkenaan mendapati petugas media juga dilarang memasuki dan membuat liputan di situ.
Semalam, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat kuarantin berkenaan hanya menempatkan PATI yang dikesan positif Covid-19.
Menurutnya, kawalan ketat sedemikian terpaksa dilaksanakan memandangkan terdapat kekhuatiran PATI terbabit mengambil kesempatan melarikan diri ketika dikuarantin disebabkan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang lengkap. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!