PPE baju raya pada pagi Syawal
[LAPORAN KHAS] “Memang terasa sedih dan hiba bila tengok orang lain pakai baju Melayu, kita pakai scrub dan sut PPE (peralatan perlindungan diri). Orang pakai songkok, kita pakai pelindung muka; orang pakai kasut raya, kita pakai boot (kasut getah).”
Itu adalah antara ayat menyentuh hati yang diungkapkan Pegawai Perubatan Forensik, Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Zainol Izat ketika diajukan mengenai pagi Syawalnya sebagai frontliners.Sebagai doktor yang bertugas di bilik mayat, bekerja pada musim perayaan bukanlah sesuatu yang asing.
Namun, doktor berusia 30 tahun dari Kuala Pilah itu mengakui Aidilfitri tahun ini memberi dugaan dan cabaran yang sangat berbeza, lantaran pandemik Covid-19 yang melanda dunia, tidak terkecuali Malaysia.
“Perasaan sudah pastinya bercampur-baur apabila terpaksa bertugas pada Hari Raya Aidilfitri, namun semuanya dihadapi demi tugas yang juga satu ibadah.
“Pada musim Covid-19 ini, kami tidak boleh mengambil mudah. Walaupun hari raya, kami tetap kena bersiap sedia. Sebab itulah PPE, boot, face shield ibarat baju raya.
“Malah, di bilik bedah forensik kami ada pakaian ‘raya’ tambahan dikenali sebagai PAPR iaitu sut powered air-purifying respirator yang dipakai bersama respirator di dalam bilik post mortem khas,” kongsi Zainol dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini.
Menurut doktor muda itu, sekiranya berpeluang bercuti pada hari lebaran, beliau pasti akan pulang ke kampung untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga.
Zainol berkata, kerjaya sebagai frontliners yang menguruskan mayat pesakit Covid-19 sememangnya penuh cabaran.
“Pengalaman kali pertama melakukan bedah siasat terhadap mayat positif Covid-19 amat menakutkan, namun kami telah membuat persediaan rapi.
“Persediaan itu sendiri mengambil masa lama dan kita turut menyediakan SOP lengkap untuk masuk ke bilik post mortem.
“Pemakaian sut PAPR penting kerana ia mempunyai respirator untuk menapis udara dari luar supaya virus tidak masuk ke dalam sut,” katanya.
Zainol menambah, ketika melakukan post mortem dengan sut, baju berlapis-lapis, topeng pelindung muka, keadaan memang panas walaupun berada dalam bilik yang berhawa dingin.
“Malah ketika mahu mengambil swab dari tekak mayat pesakit Covid-19, kita berasa was-was takut akan mendapat jangkitan dan menyebarkan kepada ahli keluarga yang lain,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi Penolong Pegawai Perubatan IPFN HKL, Hisham Mohd Nordin, sambutan Syawal pada tahun ini sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan krisis kesihatan, Covid-19.
“Tahun ini di IPFN, kami berhari raya dalam keadaan bersiap-sedia berikutan krisis Covid-19 yang melanda negara.
“Berbanding tahun-tahun sebelumnya, kami hanya bersedia dengan uniform yang biasa dan prosedur biasa yang kami ikuti setiap hari, namun pada tahun ini kami terpaksa membuat perubahan,” kata lelaki berusia 46 tahun itu.
Berpengalaman bertugas di Jabatan Forensik selama tiga tahun, Hisham berkata, tugas menguruskan mayat sudah menjadi perkara biasa padanya.
“Tiada apa yang perlu ditakutkan, cuma kadang-kadang kalau mayat itu agak berat, ia akan mendatangkan sedikit masalah. Kita memerlukan dua hingga empat orang untuk mengangkatnya, kadang-kadang boleh sakit belakang dibuatnya,” cerita Hisham sambil mengakui pelbagai pengalaman misteri di Jabatan Forensik tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk terus berkhidmat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!