Kisah suka duka frontliners di wad Covid-19

Cabaran bertugas pada ketika negara masih berperang menentang virus Covid-19 menuntut kecekalan dan kesabaran tinggi.
Cabaran bertugas pada ketika negara masih berperang menentang virus Covid-19 menuntut kecekalan dan kesabaran tinggi.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] KETERUJAAN menyambut Syawal yang bertamu pada tahun ini tidak seperti kebiasaan apabila masing-masing terpaksa akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.

Tiada perang giliran pulang kampung, tiada kemeriahan berkumpul bersama sanak saudara, dan tiada tradisi kunjung-mengunjung. Semuanya terpaksa dilupakan gara-gara virus pembunuh yang menuntut kita mengamalkan normal baharu seperti penjarakkan sosial.

Di sebalik sambutan Syawal yang terbatas, barisan frontliners seperti doktor dan jururawat masih tetap setia menabur bakti pada saat insan-insan lain menyambut raya di rumah bersama insan tersayang.

Bagi mereka, bertugas pada hari lebaran sebenarnya bukan perkara asing, namun cabaran bertugas pada ketika negara masih berperang menentang virus Covid-19 menuntut kecekalan dan kesabaran tinggi.

Ketua Jururawat Wad Cov28/Wad Diraja Hospital Kuala Lumpur (HKL), Norjulydah Hamdan berkata, pada awalnya, perasaan memang terasa sedih apabila terpaksa bertugas pada hari raya, namun setelah lama berkhidmat ia menjadi perkara biasa.

“Mula-mula memanglah sedih tetapi apabila sudah lama bekerja, ia menjadi kebiasaan.

“Di wad kami akan berkongsi juadah raya dan paling seronok ada ahli keluarga pesakit juga datang beraya bersama-sama dengan kami, “ katanya yang telah berkhidmat selama 27 tahun dan memegang jawatan ketua jururawat selama 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

Di wad petugas hadapan akan berkongsi juadah raya.
Di wad petugas hadapan akan berkongsi juadah raya.

Bercerita pengalaman ketika menguruskan pesakit Covid-19 yang ditempatkan di wad jagaannya, ketua jururawat kelahiran Singapura itu berkata, ia merupakan satu pengalaman baharu yang sangat bermakna.

“Banyak peraturan yang harus dipatuhi, bukan sekadar di tempat kerja tetapi juga ketika di luar bersama masyarakat.

“Mengenai pengurusan petugas di wad, semestinya kami menerapkan elemen kerja berpasukan dan membuat perancangan awal terutama berkaitan penjagaan serta rawatan pesakit,” katanya sambil memaklumkan Wad 28 mula digunakan sebagai wad pesakit Covid-19 pada 23 Januari lalu dan dikenali dengan nama Wad Cov28.

Menurut Norjulydah, sewaktu diumumkan wad jagaannya akan menjadi wad Covid-19, beliau agak risau kerana kebanyakan staf masih muda, mempunyai anak kecil dan ada yang mengandung.

“Saya risau kerana mereka bukan staf senior tetapi saya sahut cabaran itu dan kami terpaksa mengeluarkan staf yang berisiko tinggi seperti yang sedang mengandung,” tegas Norjulydah dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian.

Beliau yang mempunyai 18 orang jururawat di bawah seliaannya berkata, selepas dua minggu pembukaan Wad Cov28, 10 lagi wad dibuka, namun kini hanya tinggal Wad Cov28 lantaran jumlah pesakit yang semakin menurun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!