CAS beri respons positif isu tunggakan gaji pemain import
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menghela nafas lega apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memberikan respons positif berkenaan rayuan persatuan itu berhubung tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco De Jesus.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, CAS telah memberi lanjutan masa kepada badan induk bola sepak Kelantan itu melengkapkan beberapa dokumen susulan rayuan dikemukakan KAFA sebelum ini.
"KAFA diberikan lanjutan tempoh dua minggu lagi memandangkan terdapatnya peruntukan khusus di CAS dari segi tempoh masa untuk memfailkan dokumen-dokumen akibat pandemik Covid-19.
"Perlanjutan masa ini secara tidak langsung memberikan KAFA tempoh masa yang lebih panjang dalam membuat persediaan bagi kes rayuan tersebut.
"Alhamdulillah, KAFA melihat respons CAS sebagai petanda positif dalam usaha berterusan persatuan menyelesaikan isu tunggakan gaji ini.
"Pada masa sama KAFA sekali lagi merayu kepada rakyat dan penyokong setia bola sepak Kelantan untuk terus menyalurkan sumbangan masing-masing yang termampu bagi meringankan beban kewangan KAFA," kata Ahmad Muzakkir kepada Sinar Harian hari ini yang turut memaklumkan akan juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagi meminta bantuan kerajaan negeri.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mengarahkan KAFA menyelesaikan tunggakan gaji Cassio yang juga bekas pemain pertahanan The Red Warriors (TRW) berjumlah RM629,620.28 dalam tempoh 30 hari bermula 23 April lalu.
TRW kendalian Yusri Che Lah itu selepas mengharungi tiga perlawanan menduduki tangga ketujuh Liga Premier sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan akibat penularan Covid-19.
Kepada mereka yang ingin menderma boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 5530 1063 0676.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!