UMNO gesa hukuman berat terhadap pemandu mabuk

Md Jamil
Md Jamil
A
A
A

KUANTAN - Pemuda UMNO Kuantan menggesa kerajaan menyemak semula hukuman terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dengan hukuman lebih berat.

Ketuanya, Md Jamil Pauzi berkata, cadangan hukuman denda sehingga RM100,000 dan penjara maksimum 20 tahun mungkin lebih sesuai bagi menggerunkan pemandu mabuk.

Menurutnya, peruntukan undang-undang sedia ada bagi kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu secara melulu dan bahaya sehingga menyebabkan kematian) dan Seksyen 44 akta sama (memandu di bawah pengaruh minuman keras atau dadah) dilihat tidak setimpal dengan risiko ditanggung mangsa.

"Ia kerana pesalah bagi dua kesalahan ini hanya berdepan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Md Jamil berkata, Pemuda UMNO Kuantan menyambut baik komitmen Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong untuk menyemak kembali peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Sudah tiba masanya kerajaan melihat permasalahan ini dengan lebih serius bagi mengelak lebih ramai mangsa terkorban angkara pemandu mabuk.

"Kisah malang seperti yang berlaku terhadap kakitangan Alam Flora, Irwan Herman Kamaruddin, 41, yang maut selepas terlibat dalam kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu mabuk di Jalan Pintasan Kuantan di sini kelmarin perlu dihentikan," katanya.

Pada masa sama beliau menggesa kerajaan menghadkan semula penjualan minuman beralkohol kepada mereka yang berumur 21 tahun ke atas berbanding 18 tahun ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, penjualan minuman beralkohol secara bebas dan terbuka di kedai serbaneka perlu dihentikan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!