22 warga China tak mengaku salah promosi judi online
PETALING JAYA - Seramai 22 warganegara China termasuk dua wanita mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian pada awal bulan ini.
Kesemua tertuduh yang berusia 23 hingga 31 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu menerusi laman web di dua premis di Off Lapangan Terbang Subang pada jam 12 hingga 12.30 tengah hari, 9 Mei lalu.
Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Ia memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.
Selain itu tertuduh juga berdepan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Siti Zubaidah Mahat mencadangkan kadar ikat jamin antara RM5,000 dan RM8,000 bagi setiap tertuduh.
Mohammad Fakhrurrazi turut mencadangkan agar 12 daripada mereka menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri sekali sebulan di balai polis terdekat.
Bagaimanapun kesemua tertuduh yang diwakili peguam, Nur Aminahtul Marrdiah Md Nor dan Lim Chee Chung merayu agar kesemua anak guam mereka diberi ikat jamin yang minima.
Nor Ariffin menawarkan kadar ikat jamin diberi sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin kepada 12 pemuda itu dengan syarat tambahan berkenaan serta menetapkan 13 Julai ini sebagai sebutan semula kes.
Sementara Zhafran Rahim Hamzah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM3,000 bagi 12 individu lain termasuk dua wanita dengan dua penjamin manakala sebutan untuk serahan dokumen pada 9 Julai depan.
Awal bulan ini, 22 warganegara China dipercayai terlibat dengan sindiket judi dalam talian diberkas di sebuah premis di Ara Damansara, Petaling Jaya.
Sementara itu, Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, siasatan awal mendapati mereka menerima upah sebanyak RM3,000 sebulan dengan mensasarkan mangsa dari China.
Katanya, kesemua tertuduh dipercayai tidur, makan dan bekerja di premis itu bagi mengaburi pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!