Penganggur maki, ludah polis didenda RM1,000
KUALA LUMPUR - Akibat menghalang tugas seorang anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah penjawat awam itu, seorang penganggur didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman itu ke atas Chai Chee Hoon, 34, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis Mohd Farid Mohd Foad, 31, dalam menjalankan tugasnya di kaki lima Restoran Bhai Briyani, Blok A OUG Parkland Off Jalan Puchong, Brickfields di sini pada jam 11.40 malam, 26 Mei.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.
Fardiana Haryanti turut menasihati tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama.
“Dengan pihak polis tidak boleh mengeluarkan kata-kata kesat apatah lagi meludah kepada polis. Jangan mengulangi kesalahan lagi,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia sudah dua bulan tidak bekerja dan juga telah insaf. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!