Pemandu mabuk: Noh sedia bawa usul ke Parlimen
SHAH ALAM - Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bersedia membawa usul meminda hukuman lebih tegas dikenakan terhadap pemandu mabuk dalam sidang Parlimen akan datang.
Noh berkata, tindakan lebih tegas perlu dilakukan termasuk menggubal kembali undang-undang berkaitan pemandu mabuk bagi memastikan individu yang melakukan kesalahan itu dijatuhkan hukuman lebih berat.
"Perkara ini seharusnya diambil serius pihak kerajaan sepertimana kenyataan bersama Muafakat Nasional (MN) Selangor yang mahu hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap individu terlibat," katanya.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, beliau dimaklumkan, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga sedang meneliti mengubal undang-undang sedia ada kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan.
"Terima Kasih MOT (Kementerian Pengangkutan) atas tindakan segera yang diambil," kata beliau menerusi status di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Ka Siong dalam Facebook rasminya berkata, satu sesi taklimat di MOT bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan pada 1 Jun ini bagi meneliti dan menyemak semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau memaklumkan, pindaan akta itu khususnya adalah berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!