Bawa usul pinda Akta JPJ 1987 ke Parlimen 13 Julai depan

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak agar cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dibawa sebagai salah satu usul utama selepas Usul Menjunjung Kasih Titah DiRaja dalam Sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai depan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong perlu memastikan pindaan tersebut bukan sahaja mengenakan hukuman yang keras ke atas pesalah tetapi turut menggantung lesen mereka seumur hidup.

Menurutnya, bagi langkah jangka panjang, sudah tiba masa kerajaan menangani isu ini secara holistik termasuk mengisi kelompongan perundangan.

"Perkenalkan akta dalam mengawal selia dengan tegas terhadap penjualan dan pengambilan minuman keras di peringkat Persekutuan.

"Ketiadaan undang-undang khusus di peringkat Persekutuan bagi mengawal selia penjualan dan pengambilan minuman keras melainkan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pasti menyulitkan penguatkuasaan dan pencegahan menyeluruh dan seragam.

"Pengalaman negara lain termasuklah larangan pengambilan minuman keras selepas jam 10.30 malam seperti Singapura boleh dijadikan contoh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda UMNO mencadangkan agar satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada beberapa kementerian dan kerajaan negeri bagi menilai serta menggubal undang-undang baru mengawal selia penjualan dan pengambilan minuman keras.

Menurutnya, ia termasuk menggandakan program kesedaran dan pendidikan mengenai pengambilan minuman keras yang boleh memudaratkan diri dan masyarakat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!