Pemuda Pas Pahang desak henti jual arak
KUANTAN - Dewan Pemuda Pas Pahang mendesak kerajaan memandang serius isu pemandu mabuk supaya insiden kemalangan tidak berulang.
Mereka turut mendesak pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang berkait dengan memandu dalam keadaan mabuk perlu lebih ketat dan tegas.
Ketua Pemuda DPNNP Mohd Zakhwan Ahmad yang juga ADUN Tahan berkata, Pemuda Pas juga mendesak pengeluaran dan penjualan arak dihentikan serta-merta secara total bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas arak.
Beliau turut memberi contoh kadar jenayah di United Kingdom (UK) ialah 45 hingga 46 peratus manakala 39 peratus membabitkan keganasan rumah tangga antara tahun 2007 hingga 2008 akibat mabuk.
"Minum arak bukan budaya yang baik dan sihat. Tambahan pula dengan perkembangan semasa akibat bahana arak ini semakin kritikal, adalah sangat tepat jika kita menghentikan terus pengeluaran dan penjualan arak di negara ini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kejadian kemalangan maut membabitkan seorang kakitangan Alam Flora Allahyarham Irwan Herman, 41, yang terkorban akibat dirempuh oleh kenderaan dipandu seorang individu mabuk di Jalan Pintasan Kuantan malam semalam, semasa mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja.
Mohd Zakhwan turut memberi contoh kemalangan mengakibatkan anggota polis yang sedang bertugas maut dipercayai dirempuh pemandu mabuk di Kajang.
"Kami berpandangan penjara minimum tiga tahun dan maksimum 10 tahun, denda dan hilang kelayakan lesen memandu selama 5 tahun tidak langsung menggerunkan pesalah.
"Oleh itu kami mencadangkan hukuman Diyat (ganti rugi) berbentuk pampasan wang yang tinggi diberikan kepada mangsa dan waris mangsa terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk yang mengakibatkan kemalangan," katanya.
Melalui hukuman Diyat ini secara dasarnya, akan memerintahkan pesalah membayar ganti rugi atas kesalahan yang dilakukannya samada melibatkan kehilangan nyawa, kecederaan anggota badan mahupun kerugian ekonomi.
Diyat juga akan membela hak dan kebajikan ahli waris dan keluarga mangsa sekiranya berlaku kematian disebabkan perlakuan pesalah tersebut selain membuka ruang alternatif kepada waris si mati untuk memberi kemaafan bagi memberi peluang kepada pesalah untuk menebus kesalahan mereka dengan gantirugi berbentuk kewangan sahaja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!