Tak timbul isu kerajaan tidak berperikemanusiaan terhadap pekerja asing
PUTRAJAYA - Tidak timbul isu kerajaan tidak berperikemanusiaan dalam pengendalian pekerja asing ketika negara sedang berdepan penularan wabak Covid-19, sebagaimana yang didakwa pihak-pihak tertentu.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak yang menuduh kerajaan tidak berperikemanusiaan dalam isu berkenaan, seharusnya jelas dengan dua kategori pekerja asing, iaitu mereka yang mempunyai permit dan mereka yang memasuki negara ini secara haram.
“Mereka yang mempunyai permit ini diperlukan di sektor pembinaan, perladangan atau sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) malah turut mencarum (dalam) Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), serta mengikut apa yang ditetapkan undang-undang Pertubuhan Buruh Antarabangsa,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.
Katanya, pekerja asing tanpa izin yang tiada permit dan dokumen pekerjaan termasuk yang memasuki negara melalui lorong tikus, tidak wajar diberikan layanan istimewa kerana melanggar undang-undang negara selain ada yang mengancam keselamatan serta ketenteraman orang awam.
Katanya, tuduhan menyatakan kerajaan tidak berperikemanusiaan sewaktu menyerbu dan menangkap warga asing ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak benar.
Beliau memberi contoh, semua penduduk termasuk pendatang tanpa izin dikurung sewaktu PKPD di Selangor Mansion, namun pihak berkuasa membebaskan mereka yang mempunyai dokumen untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa manakala mereka yang tidak mempunyai dokumen ditahan atas kesalahan memasuki negara ini secara haram.
Dilaporkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang mempunyai sentimen negatif terhadap warga asing yang ditahan pihak berkuasa baru-baru ini dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Ismail Sabri berkata, kerajaan menangani isu pendatang asing tanpa izin dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan daripada dijangkiti wabak Covid-19 dan lantaran itu, kumpulan tersebut disaring dan dihantar ke depot imigresen.
"Kita letak mereka di depot, diberi makan secukupnya dan apabila timbul isu Covid-19 positif, kita buat saringan 100 peratus terhadap pendatang tanpa izin supaya mereka kita dapat selamatkan dan hantar mereka ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)," katanya.
Beliau berkata kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menjadikan MAEPS sebagai hospital sementara dan menempatkan pendatang tanpa izin di situ supaya mereka tidak dibiarkan terdedah kepada wabak Covid-19 sehingga tidak dapat diselamatkan.
"Kita selamatkan mereka, tempatkan mereka di tempat terbaik untuk menjaga kesihatan mereka. Kalau hendak kata Malaysia tidak berperikemanusian terhadap pendatang tanpa izin pun tidak betul tetapi ia (layanan) tidak mengubah status mereka sebagai pendatang tanpa izin," katanya.
Oleh itu, beliau berkata kerajaan dalam mesyuarat semalam memutuskan pendatang tanpa izin akan dihantar pulang ke negara asal dan perkara itu sedang diuruskan Jabatan Imigresen dan Wisma Putra untuk tindakan seterusnya.
"Saya harap di kalangan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak mengambil kesempatan untuk menjadi hero kepada golongan pendatang tanpa izin ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!