'Tolong, saya tidak boleh bernafas'
MINNEAPOLIS - Seorang lelaki kulit hitam menjadi korban tindakan kekerasan anggota polis kulit putih dalam kejadian menggemparkan di Minneapolis, Amerika Syarikat kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai George Floyd maut selepas anggota polis terbabit melutut di belakang lehernya selama lebih enam minit.
Rakaman video didedahkan individu yang berada di lokasi kejadian dan menjadi tular menunjukkan insiden menggemparkan itu sebelum Floyd tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hennepin County Medical Center.
Menerusi klip itu, dia turut berulang kali memberitahu anggota polis terbabit tentang kesukarannya untuk bernafas.
"Tolong, tolong. Saya tidak boleh bernafas. Perut dan leher saya sakit," rayunya kepada dua anggota polis terbabit.
Difahamkan, Floyd yang berusia dalam lingkungan 40-an telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pemalsuan berdasarkan gambaran suspek yang didakwa sepadan dengannya.
Susulan insiden itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang negeri telah melancarkan siasatan ke atas kematiannya.
Sementara itu, peguam, Ben Crump yang mewakili keluarga lelaki kulit hitam, Ahmaud Arbery, 25, yang maut ditembak dua lelaki kulit putih di Georgis pada awal bulan lalu memaklumkan beliau akan menuntut keadilan untuk waris keluarga Floyd.
"Penggunaan kekerasan yang berlebihan dan tidak berperikemanusiaan ini telah mengorbankan nyawa seorang lelaki," kata Crump dalam satu kenyataan.
Insiden itu turut mencetuskan perbandingan kes melibatkan penduduk kulit hitam tidak bersenjata, Eric Garner yang turut menjadi mangsa tindakan kekerasan polis New York yang menyebabkannya meninggal dunia akibat sukar bernafas ketika kejadian pada 2014. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!