Pemain EPL seperti tikus makmal
PEMAIN pertahanan Newcastle United, Danny Rose mengkritik tindakan pihak Liga Perdana yang mahu menyambung semula sesi latihan dan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun pandemik Covid-19 belum berakhir di negara itu.
Menurutnya, pemain seolah-olah dijadikan tikus makmal untuk memberikan keuntungan dan hiburan kepada pihak lain ketika wabak ini masih menular.
“Saya bertarung nyawa untuk kembali ke saingan bola sepak. Saya tahu orang ramai berdepan koronavirus lebih teruk berbanding saya, jadi saya tidak akan merungut.
“Mereka menjadikan kami seperti khinzir hutan atau tikus makmal untuk melihat sama ada liga selamat dilangsungkan atau tidak dan kami akan menjadi mangsa.
“Saya tahu ramai penonton berkata kami dibayar gaji mahal dan perlu bermain jika diarahkan. Secara jujur ia perkara yang membahayakan kesihatan dan duit itu tidak setimpal dengan kesan yang kami bakal hadapi,” katanya.
Terdahulu, seramai enam pemain EPL disahkan positif Covid-19 dalam satu ujian dijalankan dan kini sedang dikuarantinkan.
Ia sekali gus memberikan tamparan hebat kepada kepada pihak Liga Perdana yang telah membuat keputusan membenarkan setiap pasukan kembali berlatih dan dalam masa sama mahu menyambung semula saingan liga pada 12 Jun ini.
Rose turut menegaskan dia memberikan amaran tersebut kepada semua pihak bagi mengelakkan wabak tersebut kembali menular terutama dalam kalangan pemain.
“Sebagai pemain, kami mempunyai platform ini untuk menyuarakan apa yang kami rasa. Terpulang kepada semua pihak menilainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!