'Biarlah suami mangsa terakhir pemandu mabuk'
KUANTAN - Isteri kepada mangsa yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian Isnin lalu, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap pemandu yang telah menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa suaminya itu.
Zeti Haryanti Hassan, 42, berkata, pihaknya meminta kerajaan memperkasakan undang-undang berkait isu pemandu di bawah pengaruh alkohol dengan menambah baik undang-undang dan peraturan berkaitan.
"Harapan saya biarlah suami saya ini mangsa yang terakhir. Jangan ada lagi. Walau nyawa dibalas nyawa sekali pun tak mampu kembalikan suami saya.
"Saya sedih atas apa yang berlaku namun reda kejadian berlaku semasa arwah dalam perjalanan mencari rezeki untuk keluarga," katanya ketika ditemui media selepas pengebumian jenazah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Al Raudah Baru, di sini, hari ini.
Suaminya, Irwan Herman Kamarudin, 41 tahun, maut selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR yang dipandu oleh seorang peraih ikan berusia 42 tahun secara melawan arus dalam keadaan mabuk pada kejadian jam 9.20 malam kelmarin.
Jenazah selamat dikebumikan sekitar jam 4.30 petang selepas solat jenazah di Masjid Al Raudah, di sini.
Beliau meninggalkan seorang isteri serta dua anak, Puteri Nur Qistina Irwan Herman, 14 dan Amanda Nur Fitrisya, 8.
Zeti Haryanti yang masih trauma dengan pemergian suaminya berharap masyarakat mengambil iktibar kejadian ini dan meminta semua pengguna jalan raya bertanggungjawab terhadap nyawa sendiri dan orang lain.
"Apabila kita memandu, kita berhati-hati dan perlu bertanggungjawab. Perlu ingat ada nyawa orang lain dan nyawa kita sendiri.
"Saya sangat sedih atas apa yang berlaku. Petang kejadian kami sempat berbual macam biasa. Sebelum keluar bekerja kebiasaannya suami akan beritahu saya dulu. Saya cium tangannya dan dia cium dahi saya tapi itu tak berlaku pada hari kejadian. Dia terus pergi kerja mungkin nak cepat. Kalaulah kita tahu kan... mungkin tak bagi dia pergi kerja," luahnya.
Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, Kementerian Pengangkutan akan memuktamadkan beberapa cadangan pindaan akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), sebelum dibentangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri pada pertengahan Jun ini.
Perkara sama turut menarik perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan mahukan satu hukuman mandatori yang lebih berat dikenakan terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!