Protes tuntut bela kematian George Floyd

Kumpulan penunjuk perasaan itu turut membawa plakad tertera 'saya tidak boleh bernafas' seperti dinyatakan Floyd sebelum mangsa tidak sedarkan diri. Gambar kecil: George Floyd.
Kumpulan penunjuk perasaan itu turut membawa plakad tertera 'saya tidak boleh bernafas' seperti dinyatakan Floyd sebelum mangsa tidak sedarkan diri. Gambar kecil: George Floyd.
A
A
A

MINNEAPOLIS - Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) untuk menuntut bela atas kematian George Floyd yang menjadi korban tindakan kekerasan anggota polis kulit putih ketika kejadian kelmarin.

Peserta protes itu turut membawa plakad tertera 'saya tidak boleh bernafas' dan 'keadilan untuk Flyod' ketika mereka berhimpun pada malam semalam selepas rakaman insiden tersebut yang memaparkan Floyd, 46, merayu kepada anggota polis yang melutut pada belakang lehernya hingga mangsa tidak sedarkan diri menjadi tular.

Pihak berkuasa bagaimanapun melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah kumpulan tersebut yang menggesa penahanan keempat-empat anggota polis yang terlibat dalam kejadian menggemparkan tersebut.

Tindakan pasukan polis yang lengkap memakai pakaian seragam antirusuhan itu bagaimanapun telah menyebabkan protes bertukar ganas dan keadaan menjadi huru-hara.

Peguam mewakili keluarga mangsa memaklumkan anggota polis dikenali sebagai Derek Chauvin melutut pada belakang leher Floyd selama lapan minit sejurus dia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penggunaan dokumen palsu di sebuah kedai makanan berdasarkan gambaran imej suspek.

Rakaman video didedahkan individu yang berada di lokasi kejadian menunjukkan keadaan Floyd tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hennepin County Medical Center.

Menerusi klip itu, dia turut berulang kali memberitahu anggota polis terbabit tentang kesukarannya untuk bernafas.

"Tolong, tolong. Saya tidak boleh bernafas. Perut dan leher saya sakit," rayunya kepada dua anggota polis terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Floyd kelihatan tenang dan tidak berlaku sebarang pergelutan sewaktu dia ditahan dan tangannya digari malah lelaki terbabit juga akur dengan arahan pihak berkuasa.

Bukti rakaman itu jelas menyangkal dakwaan polis yang kononnya mendakwa dia bergelut dengan anggota polis sejurus dia keluar dari keretanya.

Pemilik bar, Conga Latin Bistro yang merupakan tempat dia bekerja menyifatkan Floyd seorang lelaki yang sangat baik dan bukan jenis individu yang agresif serta berkelakuan biadab.

Susulan insiden itu, empat anggota Jabatan Polis Minneapolis itu dilaporkan telah dipecat dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bersama pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang turut melancarkan siasatan ke atas kematiannya.

Insiden itu turut mencetuskan perbandingan kes melibatkan penduduk kulit hitam tidak bersenjata, Eric Garner yang turut menjadi mangsa tindakan kekerasan polis New York yang menyebabkannya meninggal dunia akibat sukar bernafas ketika kejadian pada 2014. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!