Akta Perumahan Pekerja Asing: Majikan diberi tempoh penangguhan tiga bulan
PUTRAJAYA - Semua majikan diberi tempoh penangguhan selama tiga bulan sehingga 31 Ogos 2020 untuk melakukan persediaan dalam memenuhi keperluan pematuhan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019.
Ini berikutan pindaan akta itu akan dikuatkuasakan kerajaan bermula 1 Jun hadapan dan bakal dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 September 2020.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, menerusi pindaan ini, bidang kuasa Akta 446 yang sebelum ini hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan para pekerja di sektor perladangan dan perlombongan yang melebihi 20 ekar telah diperluaskan.
Menurutnya, pindaan akta itu membolehkan bidang kuasa Akta 466 turut mencakupi aspek perumahan dan penginapan para pekerja dari semua sektor pekerjaan.
"Akta ini akan terpakai di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pinda akta perinci perumahan pekerja asing
"Bagaimanapun, kerajaan akan memberi penangguhan selama tiga bulan sehingga 31 Ogos 2020 bagi memberikan ruang kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya.
"Penguatkuasaan terhadap Akta 446 (Pindaan) 2019 akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 September 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, pindaan kepada Akta 446 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019 serta diwartakan pada 18 September 2019.
Menurutnya, Akta 446 (Pindaan) 2019 juga bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang telah disediakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
"Penambahbaikan Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 itu meliputi standard ruang minimum dua kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan.
"Pekerja asing merupakan golongan yang berisiko untuk dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19). Ini kerana mereka menginap secara beramai-ramai atau bersesak-sesak dalam satu unit kediaman selain tahap kebersihan premis yang amat kotor,"katanya.
Menurut Saravanan, kementeriannya turut bersetuju dengan pandangan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (PPM) bersabit keperluan bagi penyediaan prosedur standard operasi (SOP) bagi memudahkan pelaksanaan standard-standard minimum perumahan dan kemudahan para pekerja di semua sektor di negara ini.
"Adalah diharapkan penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019 termasuk Peraturan-Peraturan baharu bagi mengawal standard perumahan dan kemudahan pekerja akan dapat mencegah penularan pandemik Covid-19 selaras dengan saranan Recommendation 115 (Workers Housing Recommendation, 1961), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),"katanya.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan bakal menguatkuasakan pindaan akta bagi memastikan kewujudan kuarters binaan dan rumah kongsi pekerja asing di tapak binaan adalah mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan.
Ismail Sabri berkata, langkah itu penting bagi membendung sebarang penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pekerja asing sebagaimana berlaku di sebuah tapak binaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!