Kesan pekerja ladang warga asing untuk ujian Covid-19
TAWAU - Pejabat Kesihatan Tawau sedang mengesan keberadaan seorang lelaki warga asing yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di sini bagi pemeriksaan ujian saringan koronavirus (Covid-19).
Menurut sumber, pekerja itu yang tidak memiliki dokumen sah dipercayai memasuki daerah ini secara haram dari Indonesia menggunakan laluan tikus ke Tawau pada hari pertama sambutan Aidilfitri.
Difahamkan pekerja itu bersama-sama rakannya pulang ke Indonesia sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Penduduk setempat yang menyedari kehadiran mereka di perumahan pekerja ladang baru-baru ini memaklumkan kepada polis bantuan ladang itu untuk tindakan susulan bagi membendung penularan Covid-19 di kawasan tersebut.
Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Tawau Dr G Navindran ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya sedang mengesan seorang pekerja ladang untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
"Ada dua individu, pagi tadi kita telah 'mengambil' seorang dari perumahan ladang berkenaan dan sedang mencari seorang lagi," katanya.
Beliau berkata sebelum ini, 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin di Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau disahkan negatif jangkitan itu dan kesemua mereka termasuk seorang kanak-kanak dirujuk ke Jabatan Imigresen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!