Patut la bersungguh lari dari polis, rupa-rupanya...
KULIM - Seorang pemandu lori lelaki ditahan selepas cuba merempuh kenderaan polis dipercayai mahu melarikan diri apabila diarah berhenti di Jalan Lunas, Kulim di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Nasser Jaafar berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah malam ketika dua anggota dari Balai Polis Lunas membuat rondaan cegah jenayah dan melihat suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Suspek berumur 45 tahun meloloskan diri dengan memecut ke arah Kubang Semang sebelum berpatah balik ke Jalan Sungai Lembu. Dalam usahanya meloloskan diri, suspek beberapa kali menghimpit dan cuba merempuh kenderaan polis.
“Melihatkan suspek yang semakin agresif, polis kemudiannya meminta bantuan unit kereta peronda (MPV) Kulim dan anggota Cawangan Cegah Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim untuk mengepung suspek di simpang Tiga Machang Bubuk,” katanya.
Mohd Nasser berkata, suspek kemudiannya melarikan diri ke Taman Machang Manis sebelum berjaya ditahan anggotanya sebilah parang panjang ditemui di atas tempat duduk penumpang ketika pemeriksaan dilakukan.
“Selain itu, polis turut menemui satu peket lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.43 gram dari poket seluar suspek.
“Cukai jalan lori yang dipandu serta lesen memandu suspek juga turut tamat tempoh. Suspek dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!