Tiga pelajar rentas negeri dikompaun RM1,000
GOMBAK - Tiga pelajar dikenakan kompaun RM1, 000 melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana merentas negeri tanpa kebenaran hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, tiga pelajar berkenaan ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Gombak dari arah Bentong sekitar jam 1 tengah hari tadi.
"Mereka memaklumkan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur setelah pergi ke Genting Highland untuk bertemu rakannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pergerakan ketika ditahan oleh pihak polis.
"Ketiga-tiga mereka dikenakan kompaun mengikut Peraturan 6 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 kerana dengan sengaja telah bergerak dari satu tempat ke suatu tempat jangkitan yang lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!