Kehilangan lima hari terjawab
KULIM - Kehilangan seorang pekerja Syarikat Air Darul Aman (SADA) kira-kira lima hari lalu terjawab apabila dia ditemui meninggal dunia selepas kereta dipandu, terjatuh dalam curam bukit di Jalan Kulim - Serdang, hari ini.
Mangsa, Muhammad Amir Abdullah, 25, beralamat di Kampung Becah Sawa Mukim Siong, Baling ditemui orang awam sebelum melaporkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Nasser Jaafar berkata, polis menerima laporan kemalangan pada jam 1.20 petang.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa terbabas sendiri di Jalan Kulim - Serdang, berhampiran Ladang Sungai Ular.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dari arah Serdang menghala ke Kulim. Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas jatuh ke curam bukit.
"Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!