Tambah hukuman sebat, mati mandatori terhadap pemandu mabuk
SEPANJANG bulan Mei, rakyat Malaysia menyaksikan sekurang-kurang tiga kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk di mana dua daripadanya berakhir dengan tragedi kematian orang awam, manakala satu kes menyebabkan dua tercedera.
Gesaan rakyat menuntut tindakan lebih tegas terhadap pemandu mabuk disuarakan sejak dahulu lagi, namun perkara itu seolah-olah dipandang sepi kerajaan sebelum ini.
Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan kesediaan kerajaan untuk meminda akta bagi memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk pada pertengahan Jun ini.
Ikuti temu bual bersama Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar mengenai implikasi pindaan akta membendung isu pemandu mabuk di Malaysia.
Sinar Harian: Bagaimanakah kesan pelaksanaan undang-undang berkaitan hukuman terhadap pemandu mabuk di Malaysia?
Khairil Azmin: Dalam isu membabitkan pemandu mabuk, mereka itu sepatutnya tidak dibenarkan langsung untuk memandu.
Kita perlu mencontohi negara Barat seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang memperuntukkan hukuman berat kepada pemandu yang didapati memandu dalam keadaan mabuk.
Di Malaysia, kita melihat peruntukan undang-undang terhadap pemandu mabuk masih longgar dengan pelaku kesalahan itu dilihat tidak takut dengan bentuk hukuman pada ketika ini.
Saya bersetuju satu tindakan hukuman lebih keras terhadap golongan itu perlu digubal segera.
Adakah langkah meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk melalui pindaan akta berkaitan sudah mencukupi?
Khairil Azmin: Saya bersetuju pindaan akta berkaitan bagi meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk dilaksanakan segera tetapi langkah itu sahaja tidak cukup dalam membendung permasalahan itu.
Kerajaan sewajarnya membendung tindakan penjualan minuman keras secara berleluasa kerana keadaan itu menjadi punca kepada peningkatan jumlah pemandu mabuk.
Kita boleh melihat senario penjualan minuman keras seakan-akan tiada kawalan dengan ia boleh didapati di mana-mana kedai termasuk kedai serbaneka 24 jam dan pasar raya.
Di negara luar, ia berbeza apabila prosedur mendapatkan lesen penjualan minuman keras amat ketat dengan kedai minuman keras dibenarkan dibuka pada waktu tertentu.
Saya berpandangan undang-undang melibatkan minuman keras masih longgar berbanding negara-negara lain yang bukan majoriti Islam sekalipun.
Adakah pindaan akta yang disarankan Ka Siong mencukupi bagi memastikan pemandu mabuk menerima hukuman setimpal?
Khairil Azmin: Di Malaysia sebenarnya ada dua jenis undang-undang yang boleh digunakan untuk menangani isu pemandu mabuk.
Undang-undang pertama adalah undang-undang sivil bersifat umum dan terpakai kepada semua agama, manakala yang kedua merupakan undang-undang syariah Islam yang sememangnya melarang keras pengambilan sebarang bentuk minuman keras dalam kalangan umat Islam.
Saya berpandangan usaha kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kesalahan memandu dalam keadaan mabuk atau pemandu mabuk mengakibatkan kemalangan, kecederaan dan kematian kepada orang awam perlu dimasukkan dalam Akta Kanun Keseksaan.
Jika pindaan akta sekadar meningkatkan hukuman denda atau penjara, saya percaya ia tidak akan memberi sebarang kesan kerana mereka masih tidak takut dan mampu membayar denda.
Kerajaan perlu memikirkan hukuman tambahan yang lebih menggerunkan seperti hukuman sebatan atau mati mandatori. Kalau jenis kesalahan pemandu mabuk mengakibatkan kecederaan dan kematian, hukuman dikenakan mesti setimpal dan membela nasib mangsa kemalangan atau waris mangsa maut.
Pandangan terhadap pihak yang memandang gesaan hukuman lebih keras terhadap pemandu mabuk serta memperketatkan undang-undang penjualan minuman keras sebagai usaha menafikan hak bukan Islam?
Khairil Azmin: Saya berpandangan mana-mana pihak yang mempertikaikan gesaan majoriti masyarakat Malaysia terhadap pemandu mabuk dan penjualan minuman keras adalah terdiri daripada mereka yang tidak berakal.
Larangan pengambilan minuman keras bukan sahaja ditekankan agama Islam, bahkan turut diamalkan agama lain di muka bumi ini disebabkan kesan kerosakan pengambilannya adalah jauh lebih besar daripada yang kita bayangkan.
Ketagihan arak atau minuman keras juga satu masalah sosial membabitkan semua lapisan masyarakat.
Umum mengetahui kesan kerosakan akibat meminum minuman keras adalah jauh lebih besar dan mudarat kepada orang awam.
Masyarakat bukan Islam juga perlu memahami tindakan meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk dan memperketatkan peraturan menjual minuman keras adalah demi kebaikan masyarakat secara keseluruhan.
Sebagaimana wabak koronavirus (Covid-19) dianggap memberi mudarat kepada dunia dan perlu dihindari, minuman keras juga memberi implikasi serupa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!