Ini kisah kebanggaan kita
[LAPORAN KHAS] INI adalah kisah tentang kita, kisah tentang bagaimana kita berjaya meratakan lengkungan graf penularan virus pembunuh koronavirus (Covid-19).
Sebelum kisah kejayaan kita bermula, sudah pasti ada kisah duka yang dilalui semua pihak di bumi Malaysia tercinta ini.
Pada 24 Januari 2020, Malaysia buat pertama kalinya mengesahkan terdapat tiga rakyat China yang positif Covid-19 melancong di negara ini. Angka itu terus meningkat kepada 24 kes sehingga penghujung Februari lalu.
Pada ketika itu kita menyangkakan jumlah tersebut akan berkurangan, namun mimpi ngeri korona di Malaysia mula meledak pada pertengahan Mac lalu.
Apa yang menyedihkan gelombang besar itu bukanlah berpunca daripada aktiviti tidak bermanfaat, tetapi merupakan aktiviti keagamaan dan masyarakat.
Kluster Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur, kluster gereja Kuching, Sarawak dan majlis perkahwinan di Bangi, Selangor yang dianjurkan pada awal Mac menularkan virus Covid-19 secara meluas.
Pada ketika itu, jumlah pesakit positif Covid-19 di Malaysia meningkat tiga kali ganda berbanding negara ASEAN lain.
Rentetan itu, bermulalah usaha kerajaan atas saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada 18 Mac pada ketika Malaysia merekodkan 790 kes positif.
Ketika pelaksanaan PKP, sekolah ditutup, premis perniagaan dihentikan operasi, perhimpunan besar-besaran dibatalkan. Pendek kata, 32 juta rakyat Malaysia perlu berkurung di rumah sendiri!
Di sebalik ujian itu, di sini jugalah bermulanya kisah keberanian, pengorbanan dan penyatuan hati rakyat Malaysia dalam memerangi Covid-19.
Hasilnya, selepas berlanjutan sehingga 47 hari, misi melengkungkan graf penularan Covid-19 akhirnya mula membuahkan hasil. Pada hari ini, kita merekodkan secara purata jangkitan di bawah 50 kes setiap hari.
Cuma sejak dua hari lalu, akibat penularan dalam kalangan pendatang asing tanpa izin di depoh tahanan Imigresen, angka tersebut meningkat kepada tiga angka.
Meratakan graf
Pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar ketika berbicara bersama Sinar Harian baru-baru ini menegaskan bahawa langkah drastik kerajaan melalui pelaksanaan PKP adalah kunci kejayaan mencapai objektif meratakan lengkungan graf penularan Covid-19.
“Bagi saya memang telah nyata, kita berjaya meratakan lengkok graf berkenaan. Itu memang tidak ada orang boleh nafikan.
“Tetapi jika ditanya sama ada kita berjaya menghapuskan jangkitan, kita masih belum sampai ke tahap itu lagi. Maknanya kita masih ada individu dijangkiti terutamanya yang tidak bergejala,” katanya.
Katanya, KKM pada ketika ini dalam misi baharu melawan pesakit yang positif Covid-19 tanpa menunjukkan sebarang gejala.
“Sekarang ini kita sudah dapat lihat ia muncul di beberapa tempat dalam negara. Yang itu kita masih berusaha. Objektif KKM pada awalnya bukan untuk menghapuskan jangkitan. Objektif KKM adalah meratakan dan kita sudah berjaya meratakannya,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Sazaly, apa yang merisaukan adalah Covid-19 ini umpama bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa sekiranya semua pihak terus alpa dengan kejayaan yang kita kecapi pada ketika ini.
“Kita tidak tahu kadar jangkitan sebenar dalam komuniti-komuniti dari luar Lembah Klang. Oleh sebab itu, kita tidak tahu dan tidak dapat membuat anggaran berapa ramai sebenarnya dijangkiti. Contohnya di Kedah dan Pahang. Berapa ramai daripada mereka ini yang ada jangkitan tetapi tidak bergejala.
“Selagi kita tidak ada data itu, jadi kita hanya menanti jika ada mereka yang positif. Jadi maknanya kita kena sentiasa bersedia. KKM sentiasa kena siap siaga untuk menanganinya seperti hitting the mole.
“Sekarang ini KKM kena jadi seperti itu, tiap kali timbul sahaja kluster baharu, KKM perlu hantar pasukan untuk buat pengesanan kontak dan segalanya,” katanya.
Kejayaan kita bukan sahaja melegakan hati rakyat Malaysia, malah turut mendapat pujian warga Amerika Syarikat antaranya Profesor Madya Sains Kajian Otak, Neurologi dan Psikologi di Washington University, Missouri, Dr Jason Hassenstab yang terperangkap di Malaysia ketika pelaksanaan PKP.
Dr Jason menegaskan kerajaan Malaysia cemerlang dalam memastikan rakyatnya mematuhi setiap arahan sepanjang perintah itu dilaksanakan dan Malaysia boleh dijadikan teladan oleh negara lain dalam menangani pandemik Covid-19.
Normal baharu akan kekal selamanya
Pakar sosiologi, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berpendapat normal baharu Covid-19 akan kekal selamanya atau sekurang-kurangnya selepas penemuan vaksin melawan virus berkenaan.
“Apabila perkara itu menjadi sebahagian budaya kita, ia tidak akan pergi begitu mudah walaupun PKP ini ditarik balik. Saya pasti normal baharu ini tidak akan dipanggil baharu lagi selepas ini kerana ia akan menjadi sebati dalam masyarakat kita.
“Saya yakin walaupun PKPB ditarik balik, budaya seperti ini akan terus terlaksana, mungkin lima atau 10 tahun lagi yang kita panggil normal baharu pada hari ini sudah menjadi perkara biasa kepada masyarakat masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Katanya, cuma rakyat Malaysia juga perlu terus memainkan peranan bersama supaya virus tersebut dapat diputuskan secara total atau holistik.
“Seperti mana yang kita lihat hari ini, trend yang berlaku dalam negara kita menunjukkan satu prestasi yang amat menakjubkan sehingga kita mendapat pujian dari negara-negara luar.
“Bagaimanapun, kita perlu sedar, angka ini boleh meningkat jika ada kluster baharu. Contohnya kluster depot tahanan sejak dua hari lalu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!