SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengecam keras jenayah gangguan seksual ke atas dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu sebelum ini. Amirudin berkata, gangguan seksual ke atas ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan ADUN Bukit Tunku, Lim Yi Wei adalah merupakan tindakan jenayah serius dan tidak bertanggungjawab. Menurutnya, kedua-dua ADUN berkenaan merupakan pemimpin muda yang cakna terhadap pembangunan golongan wanita. "Saya berharap agar mereka yang bersalah akan diberi hukuman setimpal. "Malah saya yakin pihak berkuasa akan menyiasat perkara ini dengan sewajarnya," katanya dalam kenyataan semalam. Sebelum ini, beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) turut mengecam tindakan gangguan seksual ke atas dua ADUN terbabit yang dianggap keterlaluan. Jamaliah dan Yi Wei menerima ugutan bunuh dan rogol oleh seorang pengguna Facebook baru-baru ini. Kedua-dua ADUN DAP itu telah membuat laporan polis berhubung perkara itu. Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya berharap tindakan tersebut dapat dihentikan segera agar kaum wanita lebih merasa selesa dan selamat untuk menyuarakan pendapat mereka dalam masyarakat. "Sebagai sebuah negeri yang mengangkat martabat wanita dalam membuat keputusan dan penggubal dasar, Selangor sentiasa prihatin terhadap keselamatan kaum wanita," katanya.