Aktiviti biasa cara normal baharu

A
A
A

SETIAP hari Isnin, otak saya mula ligat mencari topik untuk tulisan di ruang kolum saya pada setiap hari Khamis. Terus terang saya katakan, selalunya pada saat-saat akhir baru ada idea.

Pada kebiasaannya idea itu datang apabila ada sesuatu yang menarik perhatian saya ketika membaca akhbar atau apa yang dihantar dalam media sosial.

Alhamdulillah, ada dua perkara yang menarik perhatian saya dalam media sosial minggu ini. Salah satunya dalam Facebook dan satu lagi dalam WhatsApp.

Dalam Facebook, banyak ulasan terhadap penggunaan pelbagai peralatan bagi menggantikan tongkat ketika membaca khutbah hari raya.

Ada yang komen secara negatif dan ada yang komen secara positif.

Pada pandangan saya, kita sekarang berada dalam situasi yang terbatas, bukan semua benda ada dalam rumah kita.

Oleh itu masing-masing berusaha sedaya upaya membuat yang terbaik sebagaimana yang mereka lihat para khatib buat semasa membaca khutbah hari raya sebelum ini.

Mungkin ada yang tidak mengetahui pun dari segi hukum tetapi demi kerana agama, mereka ikut apa yang dilihat selama ini iaitu ada sesuatu yang dipegang ketika khatib memberi khutbah.

Artikel Berkaitan:

Saya tidak berani untuk mengatakan mereka membuat lawak kerana secara sangka baiknya saya anggap itu adalah usaha mereka dalam melakukan yang sebaiknya mengikut keupayaan yang ada dalam situasi terbatas dan terhad segalanya.

Jika mereka bermain-main dalam urusan agama, mereka akan mendapat balasannya daripada ALLAH. Itu hal tongkat khutbah hari raya.

Dalam kumpulan WhatsApp pula, ada yang panjangkan berita tentang pelaksanaan solat hari raya di Jerman dan Thailand.

Kedua-duanya dibuat secara beramai-ramai di tempat terbuka tetapi mengikut kaedah yang sewajarnya pada musim Covid-19 yang masih belum reda.

Memang ada yang komen, di negara tersebut Muslimnya hanya minoriti. Ya betul tetapi pada pandangan saya, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Kenapa di Malaysia yang sangat jauh ke belakang dari segi jumlah jangkitan berbanding Jerman tidak memberi laluan?

Tidak bolehkah jika dibuka ruang untuk beribadah di tempat terbuka begitu atau di ruang parkir masjid tertentu yang dikawal rapi?

Jika di kompleks beli-belah yang pada pandangan saya lebih ramai pengunjungnya boleh diberi ruang kepada orang ramai, sewajarnya dibuka ruang untuk melakukan solat hari raya di masjid atau dewan tertentu tetapi dengan kawalan yang ketat.

Apapun, semuanya sudah berlalu. Mari kita fikir dan rancang pula untuk akan datang.

Dalam berita dikhabarkan bahawa pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan Covid-19 tidak akan hilang iaitu tetap kekal wujud bersama-sama kita.

Jadi, menerima hakikat itu, kita perlu berfikir bagaimana untuk hidup dalam suasana virus di sekeliling kita.

Saya tertarik pada satu tulisan di Facebook oleh Dr Muhammad Azhar Zailani tentang perlunya membina sistem imun tubuh yang kuat bagi melawan virus itu.

Pandangan beliau itu sudah terbukti benarnya kerana telah dilaporkan bahawa ada orang yang dijangkiti virus Covid-19 tetapi tidak menunjukkan apa-apa gejala.

Jadi, untuk menerima realiti terpaksa hidup bersama-sama Covid-19, maka bukan semata-mata berpegang kepada konsep penjarakan sosial tetapi yang lebih penting adalah tingkatkan gaya hidup sihat agar kita dapat membina sistem imun badan yang kuat.

Dengan itu, kita boleh beraktiviti seperti biasa dengan normal baharu.

Akhir kalam, di mana ada kehendak, di situ ada daya. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!