Malaysia pengerusikan Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 'online'
KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Kanan Luar Biasa Secara Maya (VESOM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) kali pertama selama empat jam mulai jam 7 malam waktu Malaysia semalam bagi membincangkan pandemik koronavirus (Covid-19).
Mesyuarat yang disertai kesemua 21 ekonomi APEC daripada lapan zon waktu yang berbeza itu berlangsung menerusi platform maya tunggal.
Sekretariat Kebangsaan APEC 2020, menerusi kenyataan hari ini berkata, penyertaan itu termasuk semua ekonomi APEC, Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) serta beberapa pemerhati terpilih daripada organisasi antarabangsa dan serantau.
“VESOM menumpukan pelaksanaan Kenyataan Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) berkaitan dengan Covid-19 yang dikeluarkan bulan ini. Pegawai kanan juga mendengar pandangan ABAC mengenai peranan sektor swasta dalam mengurangkan impak pandemik itu dan mempercepat pemulihan ekonomi serantau,” menurutnya.
Ia juga mempertimbangkan lima cadangan termasuk platform yang mungkin untuk pertukaran maklumat mengenai respons dasar oleh ekonomi APEC ke atas krisis akibat Covid-19; dua cadangan berasingan mengenai pendekatan yang mungkin untuk memudahkan aliran barang keperluan semasa krisis ini.
Cadangan lain adalah pewujudan subdana untuk kerjasama luas APEC bagi memerangi Covid-19 dan membawa rantau ini ke arah laluan pemulihan ekonomi serta panduan dan arahan untuk badan-badan APEC (contohnya jawatankuasa dan kumpulan kerja) bagi meneruskan tugas mereka pada masa yang tidak menentu ini.
Sekretariat tersebut berkata, daripada semua itu, tiga cadangan dikemukakan Malaysia dengan yang pertama adalah mewujudkan platform pertukaran maklumat berpandu yang dipanggil Pertukaran Terkini dan Segera Secara Maya Mengenai Covid-19 APEC atau ‘APEC Covid-19 LIVE’.
Platform ini bertujuan untuk mengetahui campur tangan dasar, langkah, program dan usaha yang dilaksanakan ekonomi APEC bagi menangani krisis COVID-19, katanya.
“Kedua, Malaysia mengusulkan draf Deklarasi APEC bagi Memudahkan Pergerakan Barang-barang Penting. Draf Deklarasi ini mencadangkan agar semua ekonomi APEC menawarkan senarai barang yang ditentukan sendiri untuk konsesi tarif sehala.
“Cadangan ketiga, berasaskan kapasiti Malaysia sebagai pengerusi APEC 2020, menawarkan garis panduan mengenai kaedah untuk kerja-kerja dijalankan seluruh badan APEC,” menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa, kumpulan kerja dan subforum lain diingatkan bahawa usaha mereka mesti diteruskan, sama ada melalui secara maya, atau antara sesi.
Bagi menyambung kembali dan meneruskan kerja mereka, badan-badan APEC harus menyedari bahawa rantau ini sedang dalam mod pemulihan pascakrisis dan elemen ini harus dimasukkan ke dalam, dan ditunjukkan dalam, perbincangan mereka, menurut sekretariat itu.
Sebagai tambahan kepada cadangan dari Malaysia, terdapat juga dua cadangan dari ekonomi APEC yang lain.
China mengemukakan cadangan untuk mewujudkan subdana bagi kerjasama serantau yang bertujuan memerangi Covid-19 dan memudahkan pemulihan ekonomi manakala Singapura dan New Zealand bersama mengusulkan inisiatif untuk mempermudah perdagangan barang perubatan dalam APEC.
Kesemua lima cadangan itu memperoleh komen membina dan perbincangan lanjut mengenainya dijangka dijalankan oleh badan-badan APEC yang berkaitan.
"Seperti yang kita simpulkan secara berkesan bagi VESOM hari ini, persiapan sudah dijalankan untuk Malaysia mempengerusikan satu lagi VESOM APEC serta mesyuarat MRT secara maya, pada akhir Jun 2020," kata sekretariat itu.
Ia berkata, ini merupakan kali kedua Malaysia berperanan sebagai Pengerusi APEC selepas pada 1998.
Layari www.myapec2020.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai APEC 2020. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!