Mendy mahu tunjukkan ‘diri sebenar'

Mendy (tengah) bersama Bruyne (kanan) meraikan jaringan rakan sepasukan
Mendy (tengah) bersama Bruyne (kanan) meraikan jaringan rakan sepasukan
A
A
A

PERTAHANAN kiri Manchester City Benjamin Mendy memberikan amaran kepada Kevin De Bruyne bahawa dia bersedia merebut tempatnya selaku ‘pembantu’ pasukan setelah pulih daripada kecederaan dan kembali berada pada tahap terbaiknya kelak.

Menurut pertahanan kelahiran Perancis itu,biarpun bergelut dengan masalah kecederaan sejak beraksi di Eitihad 2017 lalu, dia semakin menunjukkan peningkatan dalam potensi ‘serangan.’

Justeru katanya, dia mahu menunjukkan siapa ‘dirinya’ yang sebenar kepada penyokong City yang masih belum berpeluang menyaksikan aksi terbaiknya.

“Pertamanya, untuk mereka yang memberikan kepercayaan dan membawa saya menyertai City, kepada semua penyokong, saya ingin minta maaf.

“Ia bukannya mudah. Secara peribadi, saya tidak boleh kata saya adalah yang terbaik kerana jika saya katakan begitu, ia bagaikan mementingkan diri sendiri dan saya seolah-olah tidak ada cita-cita.

“Kini, saya mahu lakukan sesuatu yang lain, tetapi saya tidak boleh kerana kecederaan yang saya alami. Ia tidak mudah dan ia adalah untuk mereka dan saya mahu beraksi dan menunjukkan mengapa saya dipilih oleh City,” katanya.

Untuk rekod, sebelum saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 Mac lalu, Mendy telah menyumbangkan empat assists (bantuan) menerusi 23 penampilan bersama City dalam semua pertandingan kecuali perlawanan pembukaan kerana mengalami kecederaan lutut.

Sementara itu Mendy berkata, dia sentiasa bekerja keras untuk kembali kepada tahap terbaiknya dan memberikan kepada City potensi dirinya yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

Justeru dengan sasaran memulakan semula saingan EPL pada Jun ini, Mendy mengumumkan dia sudah bersedia untuk kembali beraksi.

“Mungkin saya akan lakukan yang terbaik, mungkin juga saya melalui perlawanan yang buruk dan kini ada ‘sesuatu’ yang lain pula seperti Covid-19 di seluruh dunia.

"Kadangkala saya bercakap dengan Bruyne dan berkata kepadanya, bila saya telah bersedia, kita akan ‘berlawan’ untuk menjadi ‘pembantu’.

“Apa pun, bagi saya dia (Bruyne) adalah raja, dia berada di puncak tertinggi dan itulah yang menjadi penyebab untuk saya sentiasa berusaha keras dan menjadikan saya memiliki banyak cita-cita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!