Banjir kilat: Kerisauan penduduk Taman Wadi Iman bakal berakhir

Dr Izani (kiri) meninjau kawasan yang digenangi air akibat banjir kilat di Taman Wadi Imam hari ini.
Dr Izani (kiri) meninjau kawasan yang digenangi air akibat banjir kilat di Taman Wadi Imam hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerisauan penduduk Taman Wadi Iman, Kok Lanas yang dilanda banjir kilat secara mengejut dua hari lalu bakal berakhir.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin berkata, masalah dihadapi 20 keluarga itu sudah berada dalam pengetahuannya setelah ia didedahkan menerusi laporan media.

Menurutnya, kediaman penduduk di taman tersebut digenangi air berikutan saliran perparitan baharu yang dibina di kawasan berkenaan tidak dapat menampung air ketika hujan lebat.

“Kita akan cuba buka laluan asal yang lama dan wujudkan sistem saliran baharu untuk membantu penduduk di sini. Tanah pun sudah ada.

“Selain itu, kita berusaha untuk tinggikan benteng elak limpahan. Kerajaan akan selesaikan masalah perparitan dalam masa terdekat,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau turun padang meninjau sistem perparitan di kawasan tersebut yang menyebabkan kediaman penduduk dimasuki air.

Kelmarin media melaporkan masalah dihadapi 20 penduduk di Taman Wadi Iman di sini, apabila kawasan kediaman ditenggelami air sehingga 0.2 meter secara mendadak akibat hujan lebat.

Sementara itu seorang penduduk, Faizal Ghazali, 32, berterima kasih dengan tindakan segera kerajaan dalam menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga mengharapkan ia dapat diselesaikan dengan segera supaya kejadian sebegini tidak berulang lagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!