PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 12.50 tengah hari, hari ini. “Siasatan awal mendapati suspek mengaku membuat komen tersebut di media sosial. "Lelaki berkenaan juga terlibat dengan kes laporan polis oleh Ketua Pemuda MCA, Wong Siaw Ting yang tidak berpuas hati berhubung gambar dan namanya digunakan oleh individu di Facebook untuk melakukan kesalahan jenayah pada 21 April lalu,” katanya melalui kenyataan media hari ini. Nik Ezanee berkata, lelaki itu juga memiliki kad orang kurang upaya (OKU) dan masih menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital sejak 2016. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506, 509, 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya. Terdahulu Nik Ezanee memaklumkan ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei turut mendakwa menerima gangguan seksual namun belum membuat laporan polis. Beberapa Ahli Parlimen mengecam tindakan gangguan seksual ke atas dua ADUN terbabit di Twitter mereka. Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam perbuatan itu dan menggesa siasatan segera dilakukan. Perkara sama turut disuarakan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengecam dan menjelaskan sebarang gangguan seksual ialah jenayah yang tidak patut dipandang remeh dan menjadi budaya masyarakat.