Empat maut kereta bertembung lori
KUANTAN - Empat lelaki maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka terperosok di bawah sebuah lori dalam kemalangan yang berlaku di jalan utama Felda Chini Timur, tengah hari tadi.
Ketika kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, empat mangsa yang juga penumpang kereta Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Ketua Polis Dearah Pekan, Superintendan Mohd Razali Mohd Yusof berkata, mangsa yang maut ialah Mohamad Junhaizal Lizam, 25, dari Felda Chini 4, manakala tiga lagi, Rahman, 20, Mudehri, 38, dan Subakir, 43, adalah warga Indonesia.
"Saya difahamkan pemandu lori jenis Nissan, Shaikh Mohd Azlan Shaikh Ali, 45, berasal dari Felda Chini 4 tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semasa kejadian kesemua mangsa dari arah Kuantan menghala ke Chini manakala lori dari arah bertentangan.
"Pemandu Proton Wira hilang kawalan selepas memotong beberapa kenderaan dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah hadapan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Proton Wira tercampak dari kenderaan terbabit manakala empat penumpang tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!