752,711 individu muat turun MySejahtera
PUTRAJAYA - Seramai 752,711 individu telah memuat turun aplikasi MySejahtera bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kes positif wabak koronavirus (Covid-19) dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan yang dicari dalam tempoh 28 hari.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan lebih ramai lagi rakyat di negara ini menggunakan aplikasi tersebut.
"Jumlah penilaian kendiri 910, 260 manakala jumlah pendaftaran untuk tanggungan 29,974 orang.
"Bagi jumlah Person Under Surveilan (PUS) yang telah dikenal pasti pula adalah 4,565 dan jumlah Person Under Investigation (PUI) yang daftar gunakan MySejahtera adalah 1,869.
"Bagi PUI dan PUS yang mendaftar melalui MySejahtera diminta untuk menghubungi atau hadir ke fasiliti kesihatan berdekatan untuk saringan," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah individu yang telah memuat turun aplikasi MySejahtera setakat ini.
Menurut Dr Noor Hisham, aplikasi tersebut juga akan ditambah baik dengan menggunakan imbasan QR Code mulai 1 Jun ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut menyarankan rakyat Malaysia supaya mengelak perjalanan tidak perlu ke kawasan-kawasan yang mempunyai risiko jangkitan pandemik tersebut.
"Bagi membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan aktiviti harian termasuk dalam merancang perjalanan harian dan mengenal pasti kawasan berisiko di mana kes Covid-19 dilaporkan.
"Orang awam boleh menggunakan fungsi Hotspot Tracker melalui aplikasi MySejahtera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!