Bina pusat lepak untuk remaja yang tinggal di rumah sempit: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

TASEK GELUGOR - Kajian terperinci dan mendalam perlu dijalankan untuk melaksana dengan sebaiknya cadangan perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun dalam usaha mengelakkan mereka dari terjebak dalam gejala dadah.

Menegaskan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, isu remaja melepak di luar waktu adalah masalah yang diwarisi negara selama ini dan jika ia tidak ditangani boleh mendatangkan masalah lebih buruk.

"Pada saya perbincangan perlu dibuat... bagi pihak kementerian, kami di bahagian agama sedia bekerjasama dalam erti kata membuat pengisian-pengisian kepada remaja untuk kita bina peribadi mereka.

Misalnya, bagi menjayakan perintah berkurung itu, suasana yang selesa dan ceria perlu wujud di rumah – bukan rumah yang sempit, seperti flat dua bilik yang menampung ramai anggota keluarga.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di Guar Petai di sini hari ini Mujahid berkata, tumpuan dan kajian terperinci perlu dilihat bagi kawasan seperti flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang hanya ada dua bilik, lepas itu famili ramai dan menyebabkan remaja lebih selesa pergi melepak.

Dengan hal sedemikian (bilik sempit, keluarga ramai), Mujahid berkata beberapa perkara perlu difikirkan tentang bagaimana mengatasi masalah terbabit dengan membuat pengisian-pengisian antaranya membina satu pusat untuk melepak.

"Mungkin ada satu pusat lepak yang kita boleh bantu dengan kementerian dengan pelbagai pengisian.

“Dunia remaja amat rumit, sama ada mereka boleh melepak dengan kawan untuk enjoy, (sertai) sosial media, jika ada (tonton) liga Inggeris di kedai mamak yang ada buat tayangan (skrin) besar pukul 12 malam.

Artikel Berkaitan:

“Dia (remaja) nak pi tengok dengan kawan-kawan, maka kita kena perincikan,” kata beliau.

"Tetapi keseluruhan idea mestilah tentukan remaja kita tidak terlibat dengan isu sosial dan dadah serta tempat-tempat maksiat,” katanya.

Mujahid berkata di Iceland, larangan tersebut berjaya menurunkan masalah remaja yang suka melepak dan terbabit dengan gejala dadah.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan mempertimbangkan secara serius cadangan melaksana perintah berkurung bagi remaja di bawah 18 tahun seperti yang dilaksanakan di Iceland untuk mengelakkan mereka terlibat dalam gejala dadah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata Malaysia boleh mengikut model yang dilaksanakan di negara itu, namun banyak perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!