Jumlah kes minggu pertama Jun penentu tarikh buka sekolah

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Tarikh pembukaan persekolahan akan diputuskan berdasarkan jumlah kes positif koronavirus (Covid-19) yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang minggu pertama Jun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh seminggu itu akan dapat dilihat sama ada musim perayaan memberi impak terhadap peningkatan kes positif wabak itu atau sebaliknya.

"Kalau kita mampu kekalkan jumlah kes positif harian pada angka dua digit terendah atau satu digit hingga 9 Jun depan dengan ambil kira musim perayaan, lebih banyak sektor sosial termasuk sektor pendidikan dapat dibuka semula.

"Jadi keputusan akan ditentukan pada minggu pertama Jun nanti," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, tempoh itu sangat penting untuk menjadi penentu kepada kerajaan bagi mengubah polisi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan.

Menurutnya, pihaknya percaya kes jangkitan Covid-19 dapat dikekalkan pada angka kes dua digit terendah atau satu digit sekiranya orang ramai mematuhi PKPB.

"Jadi kita harap orang ramai dapat beri kerjasama kepada KKM untuk patuhi SOP yang ditetapkan.

"Ini penting untuk kita putuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini. Sekarang kes positif libatkan rakyat tempatan semakin berkurang tapi yang jadi isu kebelakangan ini adalah warga asing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, sekiranya KKM dapat menangani kedua-duanya, pihaknya percaya kes positif wabak itu akan dapat dikurangkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!