Kerinduan itu tetap sama: Nora Ariffin
PENYANYI Nora Ariffin telah selamat menerima menantu pertama dalam keluarga hari ini.
Anak sulung, Mohd Syakir Iman telah selamat diijabkabul dengan gadis pilihan hati, Putri Eilya Sofea dengan sekali lafaz di Masjid Putra, Putrajaya.
Menurut Nora, dia bersyukur kerana majlis pernikahan telah berjalan dengan lancar dan sempurna.
Dalam majlis pernikahan ini, penyanyi popular itu dilihat turut menitiskan air mata.
“Saya berharap Johan turut berada di sini sebab masa bertunang dahulu dia ada. Tapi tak apalah, saya yakin dia juga pastinya gembira dengan pernikahan ini.
“Walaupun dia tak ada tapi dalam hati kami semua sekeluarga dia tetap bersama. Walaupun sudah hampir dua tahun permergiannya tapi kerinduan itu tetap sama.
“Saya reda dan saya akan terus menjaga anak-anak,” ujar Nora sebak.
Tidak mahu terus bersedih dalam majlis berbahagia ini, Nora turut diusik dengan persoalan mengenai cucu.
“Yang penting mereka bersedia dahulu. Jalani kehidupan berumah tangga dan kalau sudah bersedia, ada rezeki, alhamdulillah dan saya bakal jadi nenek.
“Saya dulu pun kahwin muda dan dapat anak pun awal juga. Insya-ALLAH, yang penting mereka juga sudah bersedia,” ujar Nora lagi tersenyum.
Majlis pernikahan Syakir, 26 dan Sofea, 22, ini telah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan, Azman Ya'acob di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abd Manaf Mat.
Dalam majlis tersebut, Syakir turut menyarungkan sebentuk cincin, menyerahkan wang hantaran berjumlah RM20,000, mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!