Kenderaan masuk ke KL dijangka meningkat hujung minggu ini

Mazlan
Mazlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 53,309 kenderaan di sekatan jalan raya Plaza Tol Jalan Duta arah Kuala Lumpur sejak 23 Mei lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menjangkakan jumlah kenderaan masuk ke ibu kota melalui Plaza Tol Jalan Duta akan meningkat pada hujung minggu ini.

"Plaza tol ini laluan utama yang digunakan penduduk sekitar Lembah Klang untuk memasuki Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran.

"Ada antara mereka terdiri daripada kakitangan awam dan swasta yang bertugas selepas beberapa sektor yang dibenarkan sudah kembali beroperasi," katanya sidang akhbar selepas meninjau penugasan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, di Plaza Tol Jalan Duta, hari ini.

Mazlan berkata, polis turut mengeluarkan kompaun RM1,000 membabitkan seorang pemandu kenderaan kerana melakukan kesalahan rentas negeri semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Pemandu berusia 30 tahun itu ditahan selepas didapati pergi ke Pulau Pinang dan kembali semula ke ibu negara tanpa sebarang surat kebenaran," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, polis Kuala Lumpur turut mengeluarkan 206 kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan semasa PKPB iaitu tidak melakukan penjarakan sosial, meraikan Aidilfitri melebihi 20 individu pada hari raya pertama serta mengadakan aktiviti ziarah-menziarahi pada Hari Raya Aidilfitri kedua.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!